Saturday, March 5, 2011

Bukan Islam tak boleh jadi peguam syarie elak celaru

Mac 4, 11 5:08pm

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa orang bukan Islam tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie bagi mengelak timbulnya kecelaruan di kalangan umat Islam.

sulaiman abdullah nizar vs zambry case 210509Peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Majlis Agama Islam berkata, muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi hal ehwal agama Islam yang bersidang pada 15 Disember tahun lalu telah merumuskan bahawa untuk menjadi seorang peguam syarie, seseorang itu perlu menguasai al-Quran dan hadis serta menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai idola.

"Peguam syarie juga perlu menguasai bahasa arab, ilmu usul fiqh dan fiqh secara keseluruhannya dan ia perlu didasari dengan keimanan kepada Allah SAW agar tanggungjawab yang dipikul disandarkan hanya kepada keimanan kepada Allah SAW dan demi kemasalahatan umat Islam dan keadilan menurut perspektif Islam.

"Oleh yang demikian, demi menjaga kesucian dan kehormatan agama dan umat Islam, muzakarah tersebut telah memutuskan bahawa orang bukan Islam adalah tidak dibenarkan dilantik sebagai peguam syarie," katanya ketika berhujah berhubung permohonan Victoria Jayaseele Martin (bawah, kanan) untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam beragama Islam sahaja dibenarkan sebagai pengamal di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

NONESulaiman berkata ketidakbenaran pelantikan orang bukan Islam itu juga demi mengelak sebarang keburukan berlaku dan mengutamakan kepentingan umat Islam daripada kepentingan individu.

"Berdasarkan peruntukan undang-undang yang sedang berkuatkuasa, sekiranya seorang bukan Islam dibenarkan untuk beramal sebagai peguam syarie dan didapati tidak mematuhi etika sebagai peguam syarie atau apa-apa prosedur yang berkaitan dengan Mahkamah Syariah, tiada tindakan yang boleh diambil kerana beliau tidak tertakluk kepada bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Sementara itu, peguam Ranjit Singh yang mewakili Victoria berhujah bahawa anak guamnya mempunyai kelayakan dalam perundangan Islam dan telah memperoleh Diploma dalam Undang-undang Syariah dan Amalan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 2004.

Katanya, dalam Perlembagaan Persekutuan tidak menyatakan bahawa orang bukan Islam tidak boleh menjadi peguam syarie dan hanya orang Islam yang layak (jadi peguam syarie).
Hakim Datuk Rohana Yusuf menetapkan 17 Mac ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan itu.

NONEPada 19 Mei, Victoria memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang menolak permohonannya bagi diterima sebagai peguam syarie di Mahkamah Syariah di Wilayah Persekutuan.
Dalam permohonannya itu, Victoria, 49, menamakan MAIWP selaku responden.

Beliau memohon satu perintah certiorari untuk membatalkan keputusan MAIWP melalui jawatankuasa peguam syarie menafikan permohonannya untuk diterima sebagai peguam syarie.

Antara lain, Victoria, mahu satu perintah mandamus untuk meminta MAIWP menerima beliau sebagai peguam syarie.

montageBeliau juga meminta satu pengisytiharan bahawa Perintah 10 Peraturan Peguam Syarie 1993, memberikan mandat bahawa hanya orang Islam boleh diterima sebagai peguam syarie, bercanggah dengan Artikel 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan. Ini adalah kes ujian pertama di Kuala Lumpur di mana seorang peguam bukan Islam diberikan kebenaran untuk mencabar keputusan bahawa hanya peguam Islam dibenarkan menjadi pengamal di Mahkamah Syariah di Kuala Lumpur.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, satu keperluan utama untuk menjadi seorang peguam syarie ialah seseorang itu mestilah orang Islam.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/157724

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...