Saturday, March 5, 2011

Hata Wahari ketua pengarang Utusan Rakyat

Hata Wahari ketua pengarang Utusan Rakyat
Abdul Rahim Sabri
Mac 4, 11
1:37pm

Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar hari ini mengemukakan permohonan rasmi kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mendapat permit untuk bagi menerbitkan akhbar mingguan Utusan Rakyat.

NONEMenurutnya, presiden NUJ Hata Wahari (kanan) yang berpengalaman selama 16 tahun dalam dunia kewartawanan dan bahagian editorial, bersetuju untuk menjadi ketua pengarang bagi akhbar tersebut.

"Saya tidak akan memang menyandang jawatan ketua pengarang. Saya menyerahkannya kepada Hata Wahari... Hata diberi kebebasan untuk menentukan akhbar tersebut.

"Tidak ada (campurtangan) parti politik untuk mengawal industri media atau syarikat (media)," kata Nurul Izzah.

Tambahnya, akhbar berbahasa Melayu itu akan dikeluarkan secara mingguan manakala kandungannya berkisar mengenai pelbagai isu termasuk isu-isu berkaitan dengan politik.

Ditanya siapa pemilik akhbar tersebut, Nurul berkata terdapat individu lain yang bersama-sama dalam perjuangan, yang merupakan pemilik sebuah syarikat tertentu, tetapi tidak memegang sebarang jawatan parti.

Menurut Nurul lagi, beliau sekadar mengambil inisiatif memohon permit dan tidak mahu dilihat terlibat secara langsung dalam akhbar berkenaan.

Katanya lagi, banyak pihak mahu bersedia untuk membantu bagi menjayakan penerbitan akhbar ini.

Bagaimanapun, Nurul Izzah enggan mendedahkan identiti pihak berkenaan.

Sebelum itu, Nurul tiba kira-kira jam 11.50 pagi, dan kemudiannya menemui Timbalan Setiausaha Bahagian Penerbitan KDN, Abdul Razak Latif dan Penolong Setiausaha bahagian yang sama, Shafieza Fadzil.

NONEDalam sidang media selepas menyerahkan permohonan tersebut, Nurul Izzah berkata beliau dimaklumkan bahawa menurut piagam KDN, kementerian itu KDN akan mengambil masa kira-kira dua bulan sebelum membuat keputusan berhubung permohonan tersebut.

Katanya, satu panel 10 orang yang akan diketuai oleh Timbalan Ketua Setiausaha Bahagian Keselamatan, Datuk Abdul Rahim Radzi akan membincangkan permohonan tersebut, sebelum dimajukan kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein untuk kelulusan.

Menurut Nurul Izzah, akhbar tersebut akan bersifat "dwipartisan dan saksama" dalam laporan, dengan mengambil kira suara dan pendapat pelbagai pihak.

"Media arus perdana di Malaysia mengalami persepsi ianya dikongkong pihak berkuasa menerusi Akta Mesin Cetak dan penerbitan 1984, antara lain.

"Juga realiti pemilikan media oleh sesetengah parti politik (sama ada secara terus atau menerusi proksi) menjustifikasikan persepsi 'berat sebelah' atau prasangka pengarang dalam siaran dan laporan," katanya ketika membacakan satu kenyataan media selepas pertemuan tersebut.

Nurul Izzah yang juga ahli parlimen Lembah Pantai berkata, akhbar mingguan berbahasa Melayu itu akan mempunyai ahli lembaga penasihat pengarang yang diketuai oleh Datuk Ambiga Sreenevasan yang mewakili NGO dan beliau sendiri sebagai wakil Pakatan Rakyat.

NONE"Beberapa tokoh politik mewakili BN yang dijemput (sebagai ahli lembaga pengarah) masih belum memberikan kata putus walaupun pada dasarnya bersetuju dengan inisiatif (akhbar) dwipartisan ini," katanya.

Ditanya oleh pemberita siapa tokoh BN yang dijemput itu, Nurul Izzah berkata pihaknya telah menjemput ahli parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

"Tidak ada kata putus daripada beliau, tetapi beliau menyatakan sokongannya," kata anak sulung Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, pihaknya juga "memilih" untuk menganggotai ahli lembaga pengarah akhbar berkenaan khusus mengenai track rekod tokoh tersebut.

Katanya, setakat ini pihaknya mencadangkan kawasan liputan adalah di sekitar Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Perak.


http://malaysiakini.com/news/157687

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...