zulfa@hmetro.com.my
KEPALA BATAS: Air dari pokok petai yang didakwa ‘menangis’ di Kampung Lembah Raja, Pinang Tunggal, dekat sini, berkemungkinan besar berpunca daripada air kencing sejenis serangga iaitu riang-riang.
Serangga berkenaan gemar hinggap pada pokok secara berkumpulan dan mengeluarkan bunyi bingit pada waktu siang.
Sumber Jabatan Pertanian Pulau Pinang berkata, riang-riang terutamanya yang jantan akan kencing setiap lima hingga enam saat sekali ketika dalam proses mengawan.
“Kemungkinan air yang turun seperti hujan renyai-renyai dari pokok petai berkenaan ialah air kencing riang-riang terutama jika ia berkumpul dalam jumlah besar.
“Ia mengandungi sperma riang-riang jantan untuk proses persenyawaan dengan benih betina,” katanya.
Kenyataan itu mungkin berasas kerana Harian Metro yang membuat tinjauan sekitar pokok petai itu pada waktu siang dengan jelas mendengar bunyi serangga berkenaan.
Bagaimanapun, ada juga penduduk tidak percaya ‘air mata’ pokok petai berkenaan adalah air kencing riang-riang kerana ia turun tidak henti-henti sejak tujuh hari lalu, malah makin banyak pada waktu malam.
Penduduk, Musa Puteh, 70, berkata dia sendiri tidak pasti sama ada air dari pokok petai yang turun seperti hujan renyai-renyai adalah air kencing riang-riang seperti didakwa.
“Jika air itu berpunca daripada kencing riang-riang, kenapa rasanya payau dan adakah serangga berkenaan kencing 24 jam. Lagipun ramai yang minum kerana beranggapan ia mempunyai nilai perubatan,” katanya.
Dalam pada itu, suasana kampung berhampiran pokok petai berkenaan tidak ubah seperti pasar malam sejak beberapa hari lalu berikutan penduduk mengambil peluang menjual makanan ringan.
Malah, ada juga membawa besen untuk menadah air dari pokok petai itu kerana beranggapan ia mempunyai nilai perubatan tanpa menyedari ia berpunca daripada air kencing riang-riang.
Pokok petai setinggi kira-kira 10 meter itu ditanam seorang penduduk, Abdul Karim Kassim 28 tahun lalu dan baru mengeluarkan buah tahun ini.
Harian Metro Isnin lalu melaporkan penduduk Kampung Lembah Raja gempar apabila sebatang pokok petai dikatakan ‘menangis’ sehingga air turun seperti hujan sejak beberapa hari.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kencingriang-riang/Article/index_html
No comments:
Post a Comment