Saturday, March 5, 2011

Jangan anggap biasa pencabulan demokrasi


Ahmad Lutfi Othman

Selepas menjalani pembedahan pintasan jantung pada Mei 2010, saya jarang berjalan jauh. Kudrat terbatas memaksa saya mengikuti perkembangan politik semasa hanya melalui media tradisi dan internet, selain sembang-sembang dengan rakan-rakan rapat. Banyak program seperti diskusi dan seminar, apatah lagi majlis-majlis ceramah dan konvensyen, terlepas begitu sahaja.

Memang berbeza mendengar atau memerhati hatta menonton dari jauh, berbanding turun sendiri ke lapangan. Realiti dan gejolak di medan seringkali tidak sama dengan lakaran di atas kertas atau paparan melalui media baru. Semangat yang terkandung di dalamnya sukar dirasai sedangkan itulah yang paling penting untuk dihayati.

Untuk membuat laporan atau analisis yang baik, wartawan perlu merasai debar dan getar sebenar para aktor dunia politik. Penulis harus berada di tengah kancah, menjiwai detik-detik konflik, menikmati kesyahduan atau menerima tempias panas bahangnya.

Agak malang buat saya apabila sekadar membuat pemerhatian jarak jauh. Mungkin kadang-kadang fokus yang disorot agak tersasar. Justeru, sentuhan mudah kehilangan bisanya. Dalam keadaan itu, pembaca sendiri tidak puas menatapnya.

Rantaian pilihan raya kecil yang tidak putus-putus ini, jika diikuti dari dekat, mungkin dapat membawa gambaran lebih jelas tentang kecenderungan mengundi dalam pilihan raya umum akan datang. (Bagaimanapun, pada hemat saya, trend undian dalam pilihan raya kecil mungkin berbeza -- malah ada kalanya jauh berbeza -- dengan situasi dalam pilihan raya umum. Tetapi ia tidaklah menyebabkan kita memandang remeh pilihan raya kecil itu).

Dengan berbaki tempoh tidak sampai dua tahun sebelum penggal Parlimen dan Dun berakhir, tumpuan semua parti-parti politik lebih terarah kepada PRU13, pilihan raya yang cukup kritikal buat semua parti. Justeru, pilihan raya kecil yang begitu kerap diadakan mutakhir ini kelihatannya seperti tidak diberikan perhatian istimewa.

Mungkin terdapat pemimpin, termasuk daripada Pakatan Rakyat, seolah-olah bersikap sambil lewa menyertainya, walaupun keputusan pilihan raya kecil itu tetap signifikan untuk mengukur pengaruh semasa, di samping meneliti faktor-faktor kelemahan yang perlu diperbetulkan segera menjelang PRU13.

Tengahari Isnin lalu, saya bersama seorang teman cuba menggagahkan diri berkunjung ke Kerdau. Rasanya itu merupakan antara perjalanan paling jauh saya tempuhi selepas dirawat agak lama di hospital. Selain hasrat untuk mengikuti dan merasai dari dekat situasi di kawasan "pertembungan" Umno-PAS, secara personal saya ingin menduga ketahanan badan.

Memang memenatkan tetapi ia cukup bermanfaat, terutama bagi seseorang yang terkurung begitu lama pergerakan fizikalnya, apatah lagi apabila dikesan diserang angin ahmar. Benar, fikiran dan angan-angan boleh menerjah ke seluruh pelosok alam, meneroka pelbagai dimensi alam, namun tanggungjawab saya bukannya menulis fiksyen. Realiti dunia politik yang cepat berubah memerlukan tanggapan yang cerdas dan tangkas.

Gambaran pergelutan di bawah harus dikuasai. Mungkin ada isu dirasai kecil di atas kertas tetapi menjadi dominan dalam kehidupan seharian. Ada peristiwa dianggap besar di atas pentas pidato namun dikesampingkan oleh isu-isu yang direkayasa oleh pihak berkepentingan.

Selain itu, cabaran dan gugatan politik, khususnya selepas fenomena tsunami 2008, sukar untuk diramal. Dalam diam tidak semestinya orang mengangguk. Dalam senyum bukan seharusnya orang bersetuju. Tanpa hingar-bingar tunjuk perasaan tidak bermakna segalanya aman damai. Tanpa luahan bantahan dan teriakan menuntut perubahan bukan bererti segalanya terkawal dan mudah dijangka.

Di Kerdau -- seperti juga medan pilihan raya kecil lain -- sukar untuk kita menyaksikan sesuatu yang pelik dan mengejutkan. Masakan tidak ... banyak salahlaku, penyelewengan dan salahguna kuasa BN, selain tindakan dan amalan yang mencemar dan mencabul semangat demokrasi, sudah dianggap perkara lumrah dan tidak begitu diendahkan. Hatta di kalangan oposisi sendiri, ia bagaikan diterima sebagai hakikat yang tidak berupaya ditolak lagi.

Komitmen ahli-ahli PAS dan Pakatan di peringkat akar umbi, sekurang-kurangnya untuk memberikan saingan sengit kepada BN, begitu menyerlah. "Cuma, saya agak terkilan dengan sikap segelintir kecil pemimpin tertentu yang dilihat seperti tidak serius untuk turun berkempen merayu undi atau menyuntik semangat kepada petugas parti," keluhan seorang pemerhati, yang mendakwa dapat mengesan tabiat negatif itu dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Namun begitu, rasuah politik seperti diizinkan bermaharajalela di depan mata. Projek pembangunan dilambakkan serta-merta secara tiba-tiba, tentunya dengan hasrat membeli undi. Pasukan keselamatan pula, seperti lazimnya, tidak terlepas daripada menjadi perkakasan BN untuk meraih undi. Jentera kerajaan dimanipulasi dengan begitu dahsyat (tetapi sudah tidak dirasai kedahsyatannya kerana dianggap perkara biasa, 'kan?).

Jangan ceritalah tentang akses calon atau parti yang bertanding kepada media secara saksama, seperti yang dituntut oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih. Begitu juga dengan penggunaan dakwat kekal bagi mengelak pengundian berganda dan penyelewengan undi. Kempen pilihan raya seminggu, yang pendek itu, mungkin tidak terasa untuk pilihan raya kecil tetapi bagi PRU13 nanti, saya yakin permintaan agar ia dilanjutkan minimum 21 hari pasti tidak akan dilayan.

Jadi, cadangan Presiden PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang agar dianjurkan satu himpunan raksasa Bersih sekali lagi harus diambil berat. Aktivis Pakatan mesti memandang serius apa jua pencemaran terhadap proses pendemokrasian. Satu kesalahan besar apabila kita sendiri menganggapnya sebagai satu kebiasaan yang terpaksa ditelan tanpa soal. Hinggakan nanti mungkin kita sendiri menjadi gerun dengan amalan demokrasi yang sebenar!


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31151:jangan-anggap-biasa-pencabulan-demokrasi&catid=86:editor-harakah&Itemid=126

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...