Saturday, March 5, 2011

Dr M: Melayu masih perlu dibantu

Mac 5, 11 12:27pm

Orang Melayu masih memerlukan bantuan kerajaan kerana dasar ekonomi yang digubal bagi membantu mereka masih belum mencapai matlamatnya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

NONEBeliau berkata walaupun terdapat segelintir usahawan Melayu berjaya tetapi majoriti daripada mereka tidak mampu bersaing dengan usahawan bukan Melayu.

"Masa belum tiba bagi kerajaan menghentikan bantuan kepada orang Melayu kerana dasar ekonomi sekarang belum mencapat matlamat.

"Tongkat ini (bantuan kerajaan) bila diguna berkali-kali akan lemah tetapi itulah satu-satunya kuasa yang ada untuk membantu mereka buat masa ini," katanya semasa berucap pada majlis makan malam amal Persatuan Kontraktor Melayu Kedah (PKMMK) di Dewan Wawasan di Jitra, malam semalam.

Dr Mahathir berkata kontraktor Melayu masih bergantung kepada kerajaan kerana pihak swasta amat sedikit memberikan tender atau projek kepada mereka.

Tidak dapat kontrak

"Sekarang inipun ramai kontraktor Melayu tidak mendapat kontrak" katanya dan menasihatkan mereka supaya membaiki kelemahan dan menjaga nama usahawan Melayu agar tidak tercemar untuk mendapat kepercayaan bangsa asing.

Katanya kelemahan utama usahawan Melayu adalah daripada segi pengurusan kewangan dan mereka perlu belajar dalam perkara ini untuk berjaya dan menurutnya kajian menunjukkan bangsa Melayu sendiri tidak berminat memberikan projek kepada bangsa sendiri kerana masalah tersebut.

Beliau berkata bidang francise adalah satu jenis peluang perniagaan yang mudah mendapat untung cuma perlu mengikut peraturannya tetapi itupun masih ada Bumiputera yang gagal dalam bidang ini.

"Mereka gagal kerana tidak cekap menguruskan kewangan dengan bijak. Yang cekap urus akan mendapat pulangan besar dan yang tidak pandai pula tidak akan mendapat apa-apa malah akan rugi pula," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak dan Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Datuk Mokhtar Samad.

Kutipan pada majlis makan malam amal itu akan disumbangkan kepada rumah-rumah anak yatim dan pusat-pusat pengajian Islam di Kedah.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/157766

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...