Saturday, March 5, 2011

Kempen tuntut naik gaji

JEDDAH: Pekerja sektor swasta di Arab Saudi semalam melancarkan kempen menerusi Facebook untuk menuntut kenaikan gaji selaras dengan kenaikan 15 peratus yang diumumkan oleh kerajaan untuk pekerja sektor awam.

Mereka mendakwa peningkatan gaji itu amat penting berikutan kenaikan harga barang keperluan. Mereka juga meminta Raja Abdullah campur tangan supaya tuntutan itu dapat dilaksanakan.


Kempen itu yang bertemakan ‘Kami juga rakyat Arab Saudi’ menggesa kerajaan membayar wang yang mereka sumbangkan kepada Pertubuhan Untuk Insurans Sosial (GOSI) yang berjumlah sembilan peratus daripada pendapatan bulanan mereka. Kempen itu turut mendesak syarikat swasta mengambil lebih ramai rakyat Saudi yang menganggur untuk bekerja di syarikat mereka.

“Kebanyakan kakitangan kerajaan kini sudah menerima kenaikan sebanyak 30 peratus. Jika kerajaan menanggung sembilan peratus bayaran untuk Gosi, ia akan melegakan rakyat yang bekerja di syarikat swasta,” kata kakitangan sebuah syarikat swasta, Nasser Al-Gharbi.


Seorang lagi kakitangan swasta, Salim Al-Harbi juga menggesa majikan menaikkan gaji sebanyak 30 peratus, seperti yang diperoleh pekerja awam. Menurutnya, gaji minimum pekerja Saudi sepatutnya ditetapkan sebanyak SR4,000 (RM3,240).


Fahd Al-Jabri pula berkata, kehidupannya terjejas akibat peningkatan harga barang keperluan.

“Terdapat lebih 800,000 rakyat Saudi bekerja dalam sektor swasta dan menanggung keluarga mereka yang berjumlah kira-kira 2.2 juta orang.


“Kerajaan perlu bertindak untuk menaikkan gaji mereka sebanyak 30 peratus,” katanya.

Seorang daripada penganjur kempen, Fahd Al-Anazi berkata, dia bekerja dengan sebuah syarikat kereta dengan gaji sebanyak SR2,500 (RM2,025).


“Ia tidak cukup untuk menanggung keluarga saya, lebih-lebih lagi dengan kenaikan harga barang keperluan.” Katanya, mereka yang berpengaruh saja boleh mendapat pekerjaan di sektor awam. - AN


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kempentuntutnaikgaji/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...