Saturday, March 5, 2011

Peneroka jangan tertipu bayaran balik wang SES

Nazri Abdullah

TEMERLOH, 5 Mac: Wang skim bantuan tanam semula getah (SES) yang berjumlah RM13,000 adalah hak peneroka tanpa perlu diletakkan sebarang syarat.

Pengerusi Persatuan Anak-anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, tindakan Perdana Menteri yang meletakkan syarat bahawa peneroka perlu membayar balik RM650 sebulan selama 20 tahun skim tersebut adalah tidak adil.

Wang itu kata Mazlan seharusnya diberikan kepada peneroka, tanpa perlu menuntut sebarang bayaran balik kerana ianya sememangnya hak mereka.

"Anak menyokong ketegasan peneroka dalam isu wang SES sebanyak RM13000 yang kononnya mahu dibayar Isnin ini.

"Oleh kerana wang itu wang peneroka, peneroka boleh mengambilnya tanpa syarat.

"Ertinya, ambil RM13000 tapi tak perlu bayar balik RM650 selama 20 tahun," katanya.

Tambahnya lagi, peneroka jangan sesekali menandatangani apa-apa perjanjian berkaitan pembayaran semula wang tersebut.

Mengulas pengumuman Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa wang itu akan dibayar Isnin ini, Mazlan menyifatkan ianya hanya satu umpan pilihan raya.

"Ini adalah jerat yang sedang dipasang dan satu umpan yang sangat bahaya. Kenapa tidak dibayar sebelum hari mengundi?,"soalnya.

Sehubungan itu katanya, Anak mendesak pengurusan Felda menghentikan tindakan mengugut, menipu dan menyogok peneroka.

Selain itu beliau turut kesal apabila pejabat Felda di Jengka 22,23, dan 25 juga dijadikan sebahagian pejabat pilihan raya BN.

Dalam pada itu beliau turut mendedahkan kewujudan 200 petugas khas yang diberi elaun RM2,000 oleh BN untuk memujuk peneroka.

Katanya, petugas tersebut menyamar sebagai seorang baik dengan memakai kopiah seperti orang PAS dan sering menyusup masuk ke dalam Markaz PAS dan PKR.

"Anak mengingatkan Datuk Ahmad Maslan, jangan membazirkan wang rakyat untuk kegiatan yang tidak bermaruah ini," katanya sambil memberitahu tidak teragak-agak melaporkan kepada SPRM.


http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=31210:peneroka-jangan-tertipu-bayaran-balik-wang-ses&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...