Sejak beberapa hari yang lepas saya telah melayari banyak tulisan dalam blog-blog yang saya jarang melayarinya. Saya telah banyak membaca pandangan-pandangan politik yang berbeza diantara satu dengan yang lain dan itu merupakan lumrah di dalam sebuah negara demokrasi seperti di negara kita. Kalau hendak diulas kesemuanya agak mustahil kerana ruang dan masa yang terhad untuk saya melakukannya. Tetapi saya sangat tertarik dengan tuduh menuduh di antara satu pihak dengan pihak yang lain.
Penyertaan Zairil Khir Johari ke parti DAP di ulas oleh beberapa penulis yang dikenali ramai dan menganggap Zairil seolah-olah tidak patriotik dan tidak setia kepada negara. Anak muda ini dicemuh dan dianggap tidak mempunyai semangat Melayu dan berbagai-bagai lagi panggilan terhadapnya.
Saya berdiri bukan untuk membela Zairil tetapi semata-mata untuk kita perbetulkan definasi-definasi tentang kesetiaan kepada negara dan bangsa yang kini dipandang dari sudut yang sempit dan tidak membawa faedah kepada diri masing-masing mau pun kepada negara.
Pada pandangan saya seorang yang setia dan patrriotik kepada negara dan bangsanya ialah orang yang tidak melakukan perkara-perkara yang boleh merosakan negara dan rakyatnya. Pandangan ini juga boleh kita lebarkan kepada badan-badan siasah dan apa-apa organisasi yang sepatutnya memberikan perlindungan kepada elemen keluhuran dan kebersihan kepada kerajaan serta negara lebih-lebih lagi melindungi maruah dan harta benda kepunyaan rakyat.
Pertamanya kalaulah benar kita mengambil initiatif yang kuat untuk menjadikan sistem demokrasi sebagai sistem yang kita yakini, maka yang paling utama kita perlu terima ialah setiap pertubuhan politik yang terdaftar dengan pendaftar pertubuhan itu adalah halal. Apabila pertubuhan politik itu diterima oleh negara ianya memberi makna yang pertubuhan itu boleh bergerak tanpa ada elemen-elemen yang merbahayakan negara.
Parti Komunis Malaya (PKM) merupakan satu-satunya pertubuhan politik yang diharamkan oleh kerajaan kerana parti itu telah mengangkat senjata untuk berkuasa di negara ini. Selain dari itu pertubuhan politik yang ada sekarang adalah pertubuhan politik yang di halalkan dan boleh bergerak mengikut undang-undang yang digubal dan ianya termasuklah DAP, Umno, MIC, MCA dan yang lain-lain.
Sejak mencapai kemerdekaan Umno yang mengetuai “coalition” Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) dengan jumlah parti yang bertambah di dalamnya telah mendapat mandat untuk mentadbir negara dan rakyat. Lima dekad pentadbiran BN telah membawa negara ke arah kemajuan dan pembangunan negara dengan pemikiran rakyat.
Tetapi apa yang terjadi sekarang ialah kelalaian kita sebagai pihak yang memerintah tidak mampu untuk berfikir dan berubah mengikut peredaran zaman dan masanya. Pimpinan kita sekarang merasakan bahawa negara ini adalah kepunyaan parti kita bukannya rakyat, maka apa-apa juga yang dilakukan oleh pihak yang lain untuk membetulkannya dianggap sebagai satu kesalahan besar dan dianggap berhak untuk dihina dan dinesta.
Kita mesti menerima hakikat yang perasuah itulah sebenarnya penderhaka kepada negara. Perasuah itu merupakan mereka yang telah memerah keringat rakyat dan negara maka merekalah sebenarnya yang penderhaka. Pemimpin yang menyalah gunakan kuasa itulah sebenarnya penderhaka yang terbesar kepada negara. Menteri-Menteri Besar yang mengaut keuntungan peribadi itulah sesungguhnya penderhaka kepada rakyat dan negara.
Ketua-ketua Menteri yang berkuasa dengan sepernuhnya yang telah menarah dan memperkosa tanah dan hutan rimba untuk kekayaan yang tidak ternilai banyaknya itulah penderhaka kepada rakyat.
Kita masih berfikir di takok lama dan telah sebati anggappan yang negara ini adalah hak kepimpinan kita sahaja dan jika ada usaha pihak parti lain untuk mendapatkan mandat pengundi itu adalah satu kesalahan. Budaya dan pemikiran seperti ini telah tertanam sehinggakan “bercakap benar itu adalah dicegah” dan “berkata benar itu adalah penderhaka” semata-mata untuk meneruskan kuasa.
Kekurangan yang nyata yang ada kepada kita ialah budaya melakukan introspeksi terhadap kita sendiri. Kita tidak berkemampuan untuk melihat kesalahan dan kesilapan kita secara objektif. Apabila kita tidak melakukan introspeksi ini maka kita akan dipandang sebagai pihak yang statik dan tidak “abreast” tentang perubahan yang diingini oleh rakyat mengikut masa dan waktunya.
Sebagai parti pemerintah pemimpin Umno dan BN yang telah diberi mandate selama lebih dari lima dekad mesti memahami dan tahu sebab yang menyebabkan sebahagian dari rakyat menolak kita dari terus menuduh anak-anak muda seperti Zairil dan yang lain-lain membelakangkan Umno dan BN. Isu ini telah terlalu banyak kali diulas tetapi pemimpin kita masih belum faham lagi sebab yang sebenarnya mereka kenapa mereka menjauhi parti yang dikatakan telah berjasa begitu besar kepada rakyat dan negara.
Muammar Gaddafi merupakan akitek pembangunan Libya. Libya telah menjadi negaranya “vibrant” dari segi ekonomi dibawah pimpinannya. Libya telah keluar dari kelompok negara mundur dan ramai teknokrat-teknokrat dari barat telah tiba di Libya untuk tujuan perniagaan dan melakukan kerja professional sejak hampir dua dekad lalu.
Tetapi rakyatnya tetap memberontak terhadap beliau dan meminta beliau turun dari kuasa dan ada yang ingin melihat beliau meninggalkan negara Libya secepat yang mungkin. Apakah rakyat Libya tidak berterima kasih kepada Gaddafi? Apakah rakyat Libya terpaksa memberi sokongan kepada beliau secara berteruan semata-mata kerana jasa beliau membangunkan negara Libya itu?
Rakyat menolak Gaddafi kerana sikapnya yang tamak haloba dan memperkosa kekayaan negara melalui kroni-kroni beliau di dalam dan luar negara. Jasa beliau banyak kepada Libya tetapi beliau tidak terlepas dari hukuman dari rakyat kerana tidak amanah. Sekarang semua harta beliau diluar negara telah dibekukan oleh kerajaan-kerajaan negara di mana beliau menyimpannya.
Persoalan ini perlu kita beri jawapan secara betul kerana tendensi pemimpin kita mengungkit apa yang telah BN lakukan itu mesti dibalas dengan sokongan yang berterusan dan melupakan apa-apa kesalahan yang besar terhadap negara dan rakyat semasa membangunkan negara. Kerana BN telah membangunkan negara pemimpin-pemimpin kita mengkit-ngungkit apa yang telah dibangunkan oleh mereka. Mereka berfikir seolah-olah wang dan dana membangunkan negara itu adalah duit rakyat termasuk cukai-cukai yang dikutip dari individu-individu termasuk ahli-ahli PAS dan DAP.
Mereka lupa mereka melakukan pembangunan telah dibayar dengan gaji serta kemudahan (perks) yang begitu besar dan hidup bermewah-mewahan yang tiada batasnya. Rakyat memerhatikan gelagat mereka dengan rapi dan mereka tahu mereka bermewah-mewahan dengan wang rakyat.
Di negara kita rakyat di mana-mana pun masih bercakap tentang apa “relevance”nya ETP yang dilancarkan oleh kerajaan baru-baru ini. Mereka beranggapan yang projek ETP tidak dirasakan oleh rakyat secara menyeluruh kerana mereka beranggapan yang hanya segelintir dari rakyat yang merasakan nikmatnya.
Setakat ini projek yang terlalu raksaksa seperti MRT hanya dirasakan nikmatnya oleh Gamuda-MMC dan hanya beberapa syarikat yang lain seperti Ekovest yang merasakan kepentingan di dalam ETP itu. Di belakang syarikat-syarikat ini kedapatan nama-nama keluarga yang ternama yang bergelar, sedang rakyat yang ramai tidak merasakan apa-apa nikmat darinya. Rakyat ramai sebaliknya dibebankan dengan kos sara hidup yang tinggi dan penarikan kembali subsidi-subsidi yang mereka nikmati selama ini.
Rakyat bukannya menolak tindakan kerajaan menarik balek subsidi-sibsidi tersebut tetapi mereka kesal pengorbanan mereka diberikan faedahnya kepada mereka-mereka yang dari keluarga ternama dan bergelar tadi yang mempunyai pengaruh di kalangan pucuk pimpinan negara. Teguran ini telah dibuat acap kali tetapi tidak ada reaksi yang menggalakkan dari pimpinan negara dan kerajaan. Samada mereka tidak memahami apa yang diperlukan oleh rakyat atau pun sengaja tidak mahu mengambil peduli tentang keresahan yang dialami oleh orang ramai.
Apabila DAP atau PAS telah menunjukan kemampuan mentadbir beberapa buah kerajaan negeri dengan lebih baik dari apa yang rakyat di negeri-negeri tersebut alami maka rakyat mendapat bukti bahawa tuduhan oleh pihak kita yang parti lain tidak mampu mentadbir merupakan hanya tuduhan yang disandarkan kepada tuduhan politik semata-mata.
Jika kerajaan-kerajaan tempatan di Pulau Pinang telah menunjukan kemampuan untuk menunjukan akaun yang “surplus” sejak DAP memerintah negeri itu anak-anak muda mula bertanya; bukankah itu yang rakyat mahukan? Salahkah jika rakyat dibuktikan bahawa semua kerugian dan defisit yang dialami oleh kerajaan-kerajaan tempatan Pulau Pinang semasa Gerakan, Umno dan MCA mentadbir negeri itu dahulu adalah disebabkan ketirisan yang berlarutan?
Betulkah tindakan kita meminta rakyat Pulau Pinang untuk membalas budi kita kerana membangunkan negeri itu dahulu, walaupun BN tidak lagi bersih seperti dahulu? Takkanlah kerana jasa lama kita mahukan rakyat terus memberikan kuasa walaupun pemimpin-pemimpin BN di negeri itu telah melakukan salahguna kuasa yang tidak berhenti-henti. Kalau seorang ayah telah termakan budi seseorang, takkanlah si ayah akan membiarkan orang yang berbudi kepadanya sewenang-wenangnya memperkosa anak isterinya semata-mata untuk membalas budi.
Bukakah negeri ini adalah negeri kepunyaan rakyat? Mereka berhak untuk menggantikan pentadbiran yang tidak telus walaupun sudah banyak berjasa. Kejatuhan BN di Pulau Pinang adalah disebabkan kelemahan pemimpinnya. Oleh itu jika BN bercita-cita untuk mengambil alih balek sokongan rakyat siapakah pemimpin yang BN hendak tomjolkan untuk meneraju kepimpinan Pulau Pinang?
Jika kita masih mengharapkan pemimpin yang telah ditolak semasa pilihanraya yang lalu, bagaimana rakyat hendak menyokongnya kerana rakyat menolak BN kerana ketidak jujuran mereka?
Sebenarnya inilah delima yang dihadapi oleh BN di semua negeri-negeri yang ditadbir oleh PR sekarang. Keadaan yang sama berlaku di Selangor dan yang lain-lain.
Masakan rakyat mahu percaya kepada mereka yang sudah ditolak? Di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Wilayah Persekutuan BN sebenarnya sedang menghadapi delima untuk memilih pemimpin yang berwibawa untuk menandingi pemimpin-pemimpin yang ditonjolkan oleh PR khususnya DAP dan PAS.
Selagi BN tidak dapat mencari ganti kepada pimpinan yang pernah ditolak rakyat untuk mengambil alih dari kerajaan PR maka ianya akan “crash even before taking off” kerana rakyat mahukan kepimpinan yang berimej baru yang bersih.
Tidak usahlah mengharapkan rakyat untuk menerima program-program pembangunan yang besar-besar jika manusia yang memimpinnya tidak ada kredibiliti yang secukupnya untuk mentadbir kerajaan.
Kepada yang sudah ditolak oleh rakyat itu berhentilah secara “voluntary” dan duduklah minum kopi dengan saya di kedai-kedai mamak yang ada sedikit kebersihan di premis-premis perniagaan mereka.
Jangan marah-marah dengan saya kerana memberi pandangan seperti ini.
— aspanasliasnet.blogspot.com
http://www.kl-today.com/?p=14184
No comments:
Post a Comment