KUALA LUMPUR - Seorang pelajar Malaysia yang menuntut di Padang, Sumatera, terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer dari rumah sewanya di Gunung Tangilun, sebuah zon hijau, untuk mendapatkan perlindungan selepas gempa bumi kuat dengan magnitud 7.6 pada skala Richter menggegarkan kawasan itu petang semalam.
Fashareena Nazir, pelajar perubatan tahun dua di Universitas Andalas berkata, beliau sedang berehat apabila tiba-tiba dikejutkan dengan gempa bumi itu yang berlaku kira-kira 5 petang (waktu tempatan).
"Gempa melanda sekitar 5 petang apabila tiba-tiba berlaku runtuhan dan bunyi kuat seperti satu letupan," katanya kepada Bernama menerusi perbualan telefon di sini semalam.
Fashareena, 23, dari Ampang Jaya, berkata setelah menyedari gempa bumi melanda, beliau segera mengambil barang kepunyaannya, pasport serta dokumen dan terus berlari keluar dari rumah.
Beliau bersama-sama empat lagi rakan serumah warga Malaysia, terus berlari ke arah perkarangan rumah banglo setingkat bagi menyelamatkan diri.
Beliau berkata, keseluruhan rumah itu kini penuh dengan rekahan dan lantai yang tidak sekata.
Demi keselamatan, Fashareena dan rakan serumahnya berjalan kaki ke Gunung Tangilun untuk mendapatkan perlindungan daripada rakan dari universiti lain.
Fashareen berkata, beliau menjadi trauma dengan apa yang disaksikannya - rumah jiran terbakar, tanah terbenam dan ada yang sekelip mata hilang daripada pandangan. - Bernama
http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm
No comments:
Post a Comment