Saturday, October 3, 2009

Padang dalam kegelapan


SEORANG mangsa gempa bumi mendapat rawatan di sebuah hospital di Padang Panjang, Sumatera Barat.


JAKARTA - Gempa bumi berkekuatan 7.6 pada skala Richter yang menggegarkan Sumatera Barat, khasnya ibu kotanya Padang pada 5.16 petang semalam mengakibatkan kepanikan luar biasa di kalangan penduduk yang bertempiaran keluar menyelamatkan diri.

Maklumat daripada Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika Indonesia (BMKG) menunjukkan gempa itu berpusat di kilometer (km) 57 ke barat laut Pariaman di kedalaman 71 km.

Ini disusuli gempa bumi kedua sebesar 6.2 pada skala Richter pada 5.38 petang berpusat di kilometer 22 ke barat laut Pariaman di kedalaman 22km.

Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia Dr Junaidi Abu Bakar memberitahu Bernama, semua 330 pelajar Malaysia yang rumah mereka runtuh dan sebahagiannya dilaporkan terbakar, kini berkumpul di kampus Universiti Andalas sebagai mematuhi arahan standard prosedur menghadapi bencana.

"Walaupun bangunan Fakulti Kedoktoran juga dilaporkan runtuh, tetapi kita telah meminta mereka berkumpul di kawasan berdekatan bagi memudahkan pengawasan sesama mereka dan mengambil tahu keadaan rakan masing-masing. Kita berkomunikasi terus menerus dengan mereka," katanya.

Namun, laporan stesen TV tempatan menyebut gempa itu mengakibatkan banyak bangunan tinggi yang runtuh termasuk sebuah hotel selain ribuan rumah juga runtuh atau rosak akibat gempa pertama dan gempa kedua beberapa minit kemudian.

Sehingga malam semalam, bekalan elektrik terputus dan talian telekomunikasi juga rosak mengakibatkan kota Padang berada dalam kegelapan.

Ada laporan televisyen menyebutkan beratus-ratus orang dikhuatiri tertimbus di celah runtuhan bangunan, manakala mereka yang selamat masih berhimpun di jalan-jalan lantaran tidak berani pulang ke rumah masing-masing.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik yang dipetik media massa tempatan sebagai berkata amaran tsunami untuk Indonesia, Malaysia, Thailand dan India telah pun ditarik balik.

Ini dilakukan selepas pemerhatian selama satu jam dilakukan dan didapati tidak berlaku perubahan besar gelombang di laut.

Bagaimanapun, BMKG tidak mengeluarkan amaran yang serupa. - Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=1001&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...