Saturday, October 3, 2009

Penjara sedia sebat Kartika

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my


KAJANG: Hukuman sebat terhadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32, boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sekarang kerana Jabatan Penjara sudah mempunyai tukang sebat bertauliah untuk melakukan tugas berkenaan.

“Pihak penjara kini menunggu arahan mahkamah untuk menjalankan hukuman yang tertangguh itu dan tidak mempunyai sebarang masalah untuk melaksanakannya,” kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop.


Beliau mengulas isu penangguhan hukuman sebat terhadap Kartika Sari yang sepatutnya dijalankan di Penjara Wanita Kajang di sini.

Menurut Abu Seman, isu ketiadaan pegawai penjara yang bertanggungjawab untuk menjalankan hukuman berkenaan tidak timbul berikutan sudah ada pegawai bersesuaian untuk tujuan itu.

“Perkara berkenaan dianggap selesai kerana kami sudah ada pegawai penjara bertauliah untuk melaksanakan hukuman sebat terbabit.

“Pihak penjara menunggu arahan Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan untuk melaksanakan hukuman sebat berkenaan dan apa saja masalah di luar perlu diselesaikan pihak bertanggungjawab (mahkamah itu),” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tamat Latihan Kursus Sijil Menengah Pengurusan Penjara Siri 1/2009 di sini, semalam.

Turut hadir, Komisioner Jeneral Penjara Malaysia, Datuk Zulkifli Omar.

Julai lalu, Kartika Sari dijatuhkan hukuman maksimum enam sebatan dan denda RM5,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuantan selepas mengaku bersalah minum arak di pusat hiburan di Cherating, pada Disember tahun lalu.

Ibu dua anak yang tetap dengan pendirian enggan merayu supaya hukuman diringankan dan berulang kali menyatakan kesediaan disebat pada bila-bila masa, kini menunggu keputusan pihak bertanggungjawab memberi arahan kepadanya untuk menjalani hukuman itu.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...