Saturday, October 3, 2009

Ramai tak tahu prosedur khidmat guaman percuma

KUALA LUMPUR: Tidak mengetahui prosedur mendapatkan bantuan guaman bagi individu tidak berkemampuan adalah antara punca kes membabitkan masalah syarie tertangguh hingga bertahun-tahun.

Naib Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang, berkata pihaknya ada menawarkan khidmat guaman percuma menerusi Biro Khidmat Guam Syarie (BKGS) yang dimulakan sejak April tahun lalu.

Namun, masih ramai pihak bermasalah terutama wanita yang gagal membuat tuntutan fasakh belum mengetahui mengenai kewujudan BKGS itu.

“Untuk mendapatkan khidmat guaman percuma menerusi BKGS, seseorang itu perlu melalui prosedur dan syarat tertentu. Antara syaratnya pemohon mesti bermastautin di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sekurang-kurangnya tiga bulan.

“Pemohon juga perlu merujuk kes mereka kepada Baitulmal Wilayah Persekutuan terlebih dulu sebelum pihak Baitulmal menyaring kes itu untuk memastikan kelayakan bagi mendapatkan khidmat peguam syarie percuma yang akan ditanggung Baitulmal.

“Kemudian Baitulmal akan menyerahkan kes yang layak kepada kami (BKGS). Setakat ini, 30 individu dirujuk Baitulmal mendapatkan khidmat guaman kami,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro semalam mengenai kekecewaan seorang wanita berusia 47 tahun kerana kes tuntutan fasakh tidak dilayan Mahkamah Syariah Petaling Jaya dan Kuala Lumpur yang antara sebab kegagalannya mengupah peguam.

Wanita terbabit yang hanya mahu dikenali sebagai Sapiah meluahkan kekecewaannya kerana mengalami penderitaan dan penderaan mental serta fizikal.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...