Saturday, October 3, 2009

Kes babitkan Maria ditetapkan 30 Oktober depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam, menetapkan 30 Oktober ini untuk Datuk Wan Johani Wan Hussin meminda afidavit permohonannya berhubung dakwaan melanggar perjanjian penyelesaian RM5.5 juta kerana gagal menunaikan janji untuk berkahwin dengan personaliti TV3, Maria Tunku Sabri.

Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nadiah Abd Razak menetapkan tarikh itu dalam kamarnya, semalam.

Sebelum ini, Wan Johani, 56, memohon kebenaran bagi meminda pembelaan untuk memberi gambaran penuh kepada mahkamah berhubung fakta sebenar tindakan itu dan pembelaan defendan.

Berhubung saman dalam kamar yang difailkan pada 16 Julai, Wan Johani berkata, kenyataan pembelaan itu perlu dipinda berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa seorang defendan dalam prosiding gagal menunaikan janji pernikahan diperlukan untuk membuat rayuan khusus mengenai penyalahan undang-undang bagi perjanjian sedemikian berdasarkan wanita Islam itu sudah berkahwin ketika perjanjian itu dibuat.

Peruntukan dalam Undang-undang Keluarga Islam menyatakan bahawa seorang wanita yang sudah bernikah dilarang mengahwini lelaki lain.

Pada 24 Jun lalu, Mahkamah Persekutuan membenarkan pengacara program ‘Jalan-Jalan Cari Makan’ itu mengemukakan semula saman terhadap Wan Johani.

Mahkamah itu memerintahkan kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes dan perbicaraan.

Pada 2004, Maria, 39, memohon dikuatkuasakan perjanjian membabitkan janji Wan Johani untuk membayarnya RM5.5 juta kerana dia (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti dijanjikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak dan sebagai alternatif berkata, perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Maria membawa kes itu untuk rayuan ke Mahkamah Persekutuan selepas gagal dalam usahanya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...