Saturday, October 3, 2009

Dua wanita ditemui selamat


SUSI diusung selepas dikeluarkan dari celah runtuhan di Padang semalam.


PADANG - Pasukan penyelamat mengeluarkan dua wanita yang masih hidup daripada runtuhan kolej tempat dia belajar semalam iaitu hampir dua hari selepas satu gempa bumi kuat memusnahkan wilayah Sumatera Barat.

Mangsa merupakan remaja perempuan berusia 19 tahun, Ratna Kurniasari Virgo iaitu pelajar jurusan Bahasa Inggeris sekolah Bahasa Asing Prayoga di sini.

Dia dikeluarkan dari bawah runtuhan pada pagi semalam, kira-kira 40 jam selepas gempa berkekuatan 7.6 pada skala Richter meranapkan ratusan bangunan dan rumah di sini pada Rabu lepas.

Diiringi laungan semangat sesama mereka, petugas-petugas menarik keluar kedua-dua belah tangan Ratna dari sebuah lubang yang digali dalam runtuhan tersebut.

Sehelai baju-T yang dipakainya masih berada dalam keadaan baik, remaja itu kemudian diletakkan di atas sebuah usungan sebelum dibawa ke hospital.

"Mangsa baik, sedar dan tidak mengalami sebarang kecederaan yang mengancam nyawa," kata seorang jururawat hospital tempat Ratna dirawat, Nining Rosanti.

Pada pukul 5.20 petang (waktu tempatan) hari yang sama, mangsa kedua, Susi Revika Wulan Sari iaitu seorang guru sekolah berkenaan pula ditarik keluar dari bawah runtuhan selepas terperangkap bersama beberapa mayat pelajar sekolah itu.

"Dia berada dalam keadaan sedar. Hanya kaki dan jari-jarinya bengkak kerana genggaman kuat," kata pengarah institut berkenaan, Teresia Lianawaty.


TIGA askar mencari mangsa gempa bumi di celah runtuhan di Padang semalam.


"Syukurlah! Ia satu keajaiban Tuhan," tambahnya.

Kejayaan yang dinanti-nantikan itu menyuntik semangat baru berhubung usaha mencari hampir 3,000 mangsa yang dikhuatiri masih terperangkap di bawah runtuhan bangunan-bangunan.

Bagaimanapun, beberapa pegawai berkata, kekurangan jentera penggali berat menyebabkan usaha mengumpil kepingan-kepingan konkrit untuk melihat sama ada terdapat mangsa yang masih hidup menjadi amat sukar.

Di beberapa tempat di sini, anggota-anggota penyelamat dengan bantuan orang ramai menggali timbunan runtuhan dengan hanya menggunakan penyodok dan tangan kosong.

Anggota-angota penyelamat turut terdengar jeritan meminta tolong semalam di bawah timbunan runtuhan Hotel Ambacang di sini di mana 100 orang dikhuatiri terperangkap.

Sementara itu, Ketua Pusat Bencana Kementerian Kesihatan, Rustam Pakaya berkata, angka korban rasmi kekal 715 orang manakala 2,400 lagi dirawat di hospital.

Sebelum ini, seorang pegawai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi tahu, sejumlah 1,100 orang maut dalam gempa tersebut. - AP


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...