Saturday, October 3, 2009

Gagal culik budak sekolah

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Menakutkan apabila dua penjenayah paling dikehendaki polis dikesan cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki yang baru pulang dari sekolah selepas mengendap mangsa di hadapan pintu pagar sekolah.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang semalam, penjenayah terbabit cuba menarik mangsa yang berusia 11 tahun ke dalam kereta, namun tindakan itu sempat dilihat orang awam yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Berikutan itu, suspek gagal menculik mangsa dan terpaksa melarikan diri.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata dalam kejadian itu, suspek merancang menculik mangsa yang juga murid sebuah sekolah antarabangsa di Damansara, di sini.

Suspek sebelum itu dikesan baru melakukan dua jenayah berasingan di daerah itu membabitkan kes curi kenderaan dan samun seorang wanita.

Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek mencuri dan melarikan sebuah kenderaan pelbagai guna model Toyota Avanza berhampiran kawasan Taman Medan, di sini, kira-kira jam 11 pagi.

“Sebaik mencuri kenderaan itu, suspek terus ke Kelana Jaya, sebelum meragut dua rantai leher milik seorang wanita selepas berpura-pura bertanyakan arah jalan, kira-kira jam 2 petang,” katanya.

Menurutnya, mungkin disebabkan tidak berpuas hati dengan jumlah samun diperoleh, mereka merancang satu lagi jenayah yang dianggap lebih menguntungkan iaitu menculik kanak-kanak dari sebuah sekolah antarabangsa di sini.

“Bagaimanapun ketika cuba menarik kanak-kanak berkenaan masuk ke dalam kenderaan, mangsa dipercayai meronta sebelum berjaya melepaskan diri. Beberapa orang awam yang menyedari kejadian itu kemudian segera menghubungi polis sebelum pihak polis berjaya mengesan kenderaan mereka,” katanya.

Beliau berkata, dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, penjenayah bertindak cuba melarikan diri sebelum dikejar kereta peronda polis hingga ke kawasan SS4C, Subang Jaya di sini.

“Penjenayah akhirnya gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan berjaya diberkas polis. Siasatan mendapati suspek berusia 22 dan 34 tahun berkenaan amat dikehendaki polis berhubung beberapa kes jenayah samun sebelum ini,” katanya.

Polis turut menemui semula rantai emas milik mangsa bernilai lebih RM1,000.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan, polis berjaya memberkas sekumpulan lima lelaki tempatan yang kerap melakukan jenayah samun di sekitar Kelana Jaya, Sea Park dan Damansara sepanjang Ramadan lalu.

Menurutnya, suspek didalangi kumpulan lelaki bermotosikal itu dikesan menggunakan serpihan palam pencucuh sebagai alat memecahkan cermin kereta mangsa sebelum melarikan barang berharga.

“Berdasarkan laporan, suspek kerap mensasarkan mangsa yang berhenti di persimpangan lampu isyarat merah. Mereka biasanya akan menyumpit palam pencucuh pada cermin kereta mengakibatkan ia pecah.

“Ketika itu, seorang daripada suspek akan memasukkan tangan untuk menarik keluar beg tangan mangsa diletakkan bersebelahan tempat duduk pemandu sebelum melarikan diri,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090930084037/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...