Saturday, October 3, 2009

Rumah pelajar ranap

Oleh Saipul Adli Mohamad, Muhd Izawan Baharin, Hayati Ibrahim, Shanty Nur Shaffizan Shafee dan Rudy Syareme Sheriffudin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 15 rumah disewa pelajar Malaysia di Padang, Indonesia, ranap sama sekali dalam kejadian gempa bumi kuat yang menggegarkan Sumatera Barat, petang semalam.

Bagaimanapun, 330 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang, termasuk 300 pelajar dalam jurusan perubatan di Universiti Andalas, Padang, manakala selebihnya menuntut di sekolah agama, terselamat dalam gempa bumi berukuran 7.9 skala Richter kira-kira jam 6.15 petang.

Ketika mengesahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia, Dr Junaidi Abu Bakar, berkata sebahagian besar daripada pelajar terbabit berada di kediaman masing-masing ketika bencana alam itu berlaku, tetapi semua mereka berjaya menyelamatkan diri.

“Saya sedang memantau keadaan mereka dari Jakarta kerana buat masa ini lapangan terbang di Padang ditutup. Kita sudah menasihatkan kumpulan pelajar itu tidak berpecah bagi memudahkan pengawasan.

“Mereka ditempatkan di kawasan lapang bertanah tinggi kira-kira lima kilometer dari kawasan kejadian sementara menunggu bantuan.

“Seorang pelajar kita terpaksa berjalan kaki sejauh lima kilometer dari rumah sewanya di Gunung Tangilun, sebuah zon hijau, untuk mendapatkan perlindungan selepas gempa bumi kuat dengan magnitud 7.7 menggegarkan kawasan itu,” katanya yang dihubungi ketika berada di lapangan terbang di Jakarta, menunggu penerbangan pertama ke daerah dilanda bencana itu.

Dr Junaidi berkata, berdasarkan laporan diterimanya, kota Padang diisytiharkan kawasan darurat bencana apabila keseluruhan kota Minangkabau itu bergelap selepas bekalan elektrik dan kemudahan asas lain terputus sama sekali.

Katanya, mangsa bencana kini menunggu ketibaan bantuan makanan dan minuman serta kecemasan yang lain belum tiba sehingga tengah malam tadi.

“Universiti dan sekolah turut terjejas. Sekiranya keadaan di sana semakin meruncing, besar kemungkinan semua pelajar Malaysia dibawa pulang ke tanah air secepat mungkin,” katanya.

Sementara itu, laporan Bernama memetik Fashareena Nazir, pelajar perubatan tahun dua di Universitas Andalas, berkata dia sedang berehat apabila tiba-tiba dikejutkan dengan gempa bumi itu yang berlaku kira-kira 5 petang (waktu tempatan).

“Gempa melanda sekitar 5 petang apabila tiba-tiba berlaku runtuhan dan bunyi kuat seperti satu letupan,” katanya menerusi perbualan telefon.

Fashareena, 23, dari Ampang Jaya, Selangor, berkata setelah menyedari gempa bumi melanda, dia segera mengambil barang kepunyaannya, pasport serta dokumen dan berlari keluar dari rumah.

Dia bersama-sama empat lagi rakan serumah warga Malaysia berlari ke arah perkarangan banglo setingkat bagi menyelamatkan diri.

Fashareena berkata, keseluruhan rumah itu penuh rekahan dan lantai yang tidak sekata.

Demi keselamatan, Fashareena dan rakan serumahnya berjalan kaki ke Gunung Tangilun untuk mendapatkan perlindungan daripada rakan dari universiti lain.

Fashareen berkata dia menjadi trauma dengan apa yang disaksikannya iaitu, rumah jiran terbakar, tanah terbenam dan ada yang sekelip mata hilang daripada pandangan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...