Friday, October 1, 2010

7 pelabur rumpai laut failkan tuntutan RM26j

30/09/2010 10:25pm


IPOH 30 Sept — Tujuh pelabur perniagaan rumpai laut yang mendakwa ditipu dan diperdayakan untuk melabur dalam perniagaan itu sejak 2007, hari ini memfailkan tuntutan sivil di Mahkamah Tinggi di sini untuk mendapatkan semula wang pelaburan berjumlah hampir RM26 juta.

Tuntutan itu dikemukakan oleh P. William Rajah, 34, Chong Pek Kuon, 36, R. Edwin, 48, Abu Bakar Maidin, 52, S. Nathan, 56, M. Gunaballan, 58, dan P. K Pathmanathan, 58, yang bertindak selaku plaintif.

Kesemua plaintif mendakwa mewakili 2,000 pelabur berbilang kaum di Perak yang menanggung kerugian selepas melabur dalam perniagaan terbabit yang dijalankan di Semporna, Sabah.

Plaintif menamakan enam pihak termasuk empat syarikat iaitu Fresh Palms Sdn Bhd, A K United Sdn Bhd, Genuine Starlight Sdn Bhd dan Loyal Sunrich Sdn Bhd serta dua individu, P.G.P Nathan, 39, iaitu Pengarah Genuine Starlight dan Loyal Sunrich dan Choi Kok Peng, 45, Lembaga Pengarah di Fresh Palms dan A.K United, sebagai defendan.

Tuntutan difailkan melalui Tetuan N.P Ramachandran & Assc di pejabat Pendaftar mahkamah hari ini.

Plaintif mendakwa mereka telah diyakini oleh defendan melalui representasi dan telah melabur sejumlah RM25,826,800 dari Februari 2007 hingga Novemver 2008.

Plaintif menuntut defendan membayar semula wang pelaburan berjumlah RM25,826,800, faedah sebanyak lapan peratus daripada jumlah pelaburan, kos serta lain-lain relif yang difikirkan sesuai oleh mahkamah. — Bernama

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0930&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_13.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...