2010/10/01
KUALA LUMPUR: Suspek lelaki yang mengamuk dan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi bekas isterinya dalam kejadian di Medan Warisan, di Kuantan pada Selasa lalu disahkan bukannya bekerja sebagai pembantu perubatan.
Presiden Kesatuan Pembantu Perubatan Semenanjung Malaysia (KPPSM), Taram Singh Walia, berkata pihaknya sudah menyelidik maklumat di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan dan ternyata suspek terbabit sebenarnya bekerja sebagai atendan hospital itu.
Katanya, pihaknya mendapat maklumat terbabit dari penyelia Jabatan Kecemasan hospital itu semalam selepas membaca laporan muka depan akhbar ini berhubung seorang pembantu perubatan mengamuk akibat gila talak.
“KPPSM badan profesional yang mempunyai keahlian 2,600 orang dan bekerja di pusat kesihatan seluruh Semenanjung Malaysia termasuk di Klinik 1Malaysia.
“Kita tidak mahu orang awam tersalah anggap dengan pembantu perubatan akibat hal ini. Jawatan sebenar lelaki yang terbabit dalam insiden itu ialah Pembantu Perawatan Kesihatan (PPK) atau dulu lebih dikenali umum sebagai atendan hospital.
“Dua jawatan terbabit dan skop tugas berbeza. Diharapkan kenyataan saya hari ini (semalam) dapat memperjelaskan salah faham kepada orang awam,” katanya.
Harian Metro semalam melaporkan dalam kejadian kira-kira jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan berjabat tangan dengan kadi untuk dinikahkan di rumah pengantin perempuan sebelum suspek yang juga bekas suami bakal isteri mangsa tiba-tiba masuk ke dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Suspekbukanpembantuperubatan/Article
No comments:
Post a Comment