Friday, October 1, 2010

Kaedah penyucian bahan unsur babi

Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
yusliza@hmetro.com.my
2010/10/01

KUALA LUMPUR: Penggunaan bahan berunsur babi dalam proses penghasilan makanan atau ubatan boleh diterima jika melalui kaedah istihalah iaitu penyucian dalam hingga bahan akhir yang dihasilkan bebas daripada sebarang unsur terbabit.

Pensyarah Kanan Jabatan Fiqh dan Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Dr Sa'adan Man berkata, pendekatan istihalah sudah digunakan dalam kebanyakan kes dengan merujuk pandangan serta ulama terdahulu dan semasa di peringkat antarabangsa serta tempatan.

“Contohnya, babi yang terjatuh ke lautan akan terurai dengan air garam lalu mengubah struktur, molekul daging dan tulangnya membentuk bahan baru iaitu garam. “Garam baru yang terbentuk halal digunakan,” katanya mengulas kertas kerja dalam Muzakarah Pakar “Unsur Babi: Isu dan Cabaran” di IKIM di sini, semalam.


Dr Sa’adan yang membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Bilakah babi bukan lagi dianggap babi?-Isu dan penyelesaiannya’ sebelum itu merumuskan kaedah berkenaan relevan diaplikasi khususnya dalam situasi semasa membabitkan penggunaan bahan daripada unsur babi.


“Bagaimanapun, kaedah ini perlu digunakan secara berhati-hati dan teliti terutama dalam aspek memastikan zat dan sifat najis itu berubah sepenuhnya. “Dalam soal ini, kepakaran mereka yang berkecimpung dalam bidang itu diperlukan,” katanya.


Justeru, katanya, melalui maklumat dan pandangan pakar teknologi makanan, saintis bioteknologi, pakar farmaseutikal dan sebagainya, pendekatan kaedah istihalah itu dapat ditentukan dan usaha memutuskan hukum akan menjadi lebih mudah dan berkesan.


Selain itu katanya, piawaian mengenai kaedah istihalah perlu ditetapkan segera pihak syariah untuk mengelak kekeliruan umat Islam.


“Standard mengenainya penting bagi menentukan kriteria dan rujukan berhubung status halal sesuatu produk terutamanya berunsur babi yang dihasilkan melalui kaedah itu.


“Setakat ini, belum ada piawaian jelas dan kami ke arah menentukan standardnya. Bagi menjayakannya, kami perlukan kerjasama pelbagai pihak antaranya pakar syariah dan saintis,”
katanya.


Sementara itu, Pengarah Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) Dr Mohd Zaidi Ismail berkata, isu berhubung kaedah istihalah akan terus diperhalusi dan dikaji serta perbincangan terperinci diadakan mengenainya sebelum memutuskan sebarang hukum.


“Memang jelas al-Quran menyatakan babi haram, tetapi apabila membabitkan bahagian lain seperti DNA, molekul atau enzim, ia menjadi lebih rumit,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kaedahpenyucianbahanunsurbabi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...