Oleh Shahrul Nizam Mohamad
am@hmetro.com.my
2010/10/01
KUANTAN: “Tolong jangan ganggu kehidupan saya. Kita sudah tidak mempunyai apa-apa hubungan lagi dan cukuplah awak (bekas suami) menyeksa hidup saya selama perkahwinan kita,” demikian tegas seorang suri rumah yang mahu dikenali sebagai Has, 31, berhubung kejadian bekas suaminya, yang bekerja di sebuah hospital, di sini, membelasah suami barunya, seorang anggota tentera di Medan Warisan di sini, Selasa lalu.
Menceritakan semula kejadian itu, Has berkata sebelum itu, dia berada dalam bilik dan membuka sedikit pintu untuk melihat kehadiran tetamu sebelum melihat kelibat bekas suaminya berlari di ruang tamu.
Menurutnya, tidak sampai lima saat, dia terdengar bunyi kecoh di ruang tamu sebelum keluar dan melihat bekas suaminya kelihatan seperti dirasuk apabila bertubi-tubi membelasah suaminya ketika itu berjabat tangan dengan jurunikah untuk menyempurnakan majlis akad nikah.
Katanya, melihat suaminya dibelasah, dia bersama tiga sepupu kemudian cuba membantu meredakan kejadian, namun bekas suaminya bertindak menolaknya hingga tersungkur di lantai.
“Tidak cukup memukul suami dengan topi keledar dan tongkat, bekas suami turut mengambil pisau pemotong daging di dapur sebelum meluru ke arah suami dan cuba menetak kepalanya.
“Hanya tinggal seinci lagi pisau pemotong daging dipegang bekas suami singgah di kepala suami, namun sepupu mengalihkan perhatiannya sebelum polis tiba di tempat kejadian.
“Saya tidak sangka dia sanggup bertindak luar batasan sedangkan saya tidak lagi mempunyai hubungan suami isteri dengannya selepas dicerai talak dua,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Medan Warisan, semalam.
Difahamkan, Has mempunyai tiga cahaya mata perempuan berusia empat bulan hingga lapan tahun bersama bekas suaminya itu, namun ketiga-tiga anaknya itu dibawa lari lelaki berkenaan.
Menurutnya, dia begitu berharap bekas suaminya itu berubah perangai dan membuang sikap panas baran selain menerima hakikat dia kini sah menjadi isteri kepada anggota tentera terbabit selepas diijabkabulkan pada malam kejadian.
Semalam Harian Metro melaporkan, seorang pembantu perubatan sebuah hospital di sini, bertindak ganas apabila membuat kecoh pada majlis akad nikah bekas isterinya dengan membelasah seorang anggota tentera yang bakal menikahi wanita berkenaan di Medan Warisan di sini.
Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, mangsa berusia 30-an dan bertugas di Kem Batu 10, Jalan Gambang di sini, dikatakan sudah berjabat tangan dengan jurunikah untuk diijabkabulkan di rumah pengantin perempuan sebelum bekas suami bakal isterinya tiba-tiba meluru masuk dalam rumah dan menyerangnya menggunakan topi keledar.
Sementara itu, anggota tentera terbabit yang mahu dikenali sebagai Mud, 31, berkata kejadian itu berlaku dengan pantas apabila bekas suami isterinya menyerang menggunakan topi keledar.
Menurutnya, dia dibelasah hampir setengah jam apabila lelaki itu menggunakan tongkat untuk memukul dan memijak kaki kirinya menyebabkan kecederaan lamanya akibat terbabit kemalangan dua bulan lalu berulang.
Katanya, dia turut cedera pada tangan kanan serta patah hidung akibat dihempuk dengan topi keledar sebelum melihat lelaki terbabit cuba menetak kepalanya menggunakan pisau pemotong daging yang diambil di dapur.
Menurutnya, dia mendakwa tidak berdaya mempertahankan diri serta berdiri kerana kaki kirinya patah sebelum dibantu isteri dan beberapa tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.
“Apapun, saya bersyukur majlis akad nikah selesai dan saya sah menjadi suami kepada Has. Saya minta lelaki itu tidak lagi mengganggu kehidupan kami,” katanya yang berasal dari Negeri Sembilan.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tolongjanganganggu/Article
No comments:
Post a Comment