Friday, October 1, 2010

Demi bakti kepada ibu

Oleh Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my
2010/10/01

KUALA LUMPUR: “Saya sedar sikap degil akhirnya makan diri sendiri, jika dulu saya dengar cakap ibu mungkin kini saya masih mempunyai kaki,” luah Bah Suni anak Jamil, 17, menceritakan kesedihannya selepas kehilangan kaki sebelah kanan empat bulan lalu.

Bukan itu saja, lebih menyedihkan kemalangan pada jam 7 pagi itu, menyebabkan semua barang miliknya turut disamun sehingga wang hasil bekerja selama ini turut dikeluarkan pihak tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, ketika kejadian dia dalam perjalanan pulang ke kampung halaman di Kuala Lipis, Pahang menunggang motosikal bersama seorang teman.


“Ketika itu saya cuba memotong lori di hadapan, mungkin pemandu berkenaan tidak nampak kelibat saya dia terus memecut laju sehingga saya terjatuh.


“Dalam keadaan lemah saya cuba bangun tetapi sebuah motosikal lain tiba dengan serta-merta melanggar kaki saya menyebabkan saya rebah tidak sedarkan diri,”
katanya ketika ditemui.


Dia ditemui di Balai Berita di sini semalam, mengakui selepas tersedar daripada pembedahan dia terkejut dan kelu apabila melihat sebelah kaki sudah tiada dan doktor mengesahkan kaki kanan terpaksa dibuang berikutan urat putus dan pengaliran darah sudah tidak berfungsi.


“Beberapa hari selepas kejadian saya menjadi sangat sedih dan kerap menangis apabila teringatkan nasihat emak yang melarang saya menunggang motosikal,” katanya.


“Walaupun niat saya menunggang motosikal untuk kegunaan ke tempat kerja, disebabkan saya suka berahsia emak tidak tahu apakah sebenarnya yang saya lakukan selama ini,” katanya yang pernah bekerja di ibu kota sebelum kemalangan.


Mengharapkan peluang kedua, Bah Suni berhasrat dengan bantuan kaki palsu, dia dapat menebus kesalahan terhadap kedua orang tua dengan memberi lebih tumpuan kepada mereka yang semakin uzur.


“Apa yang saya lakukan demi membantu keluarga, niat saya mencari pekerjaan di sini bagi memberi kesenangan kepada mereka, walaupun sedih dengan musibah yang menimpa saya tetap akan bekerja keras seperti sedia kala jika sudah mempunyai kaki palsu kelak,” luah anak bongsu daripada 10 beradik ini.


Bah Suni memerlukan RM12,800 bagi membeli kaki palsu serba guna disebabkan suasana di kampungnya memerlukan sentiasa bergerak pantas.

Sehubungan itu orang ramai boleh menghantar cek atas nama The New Straits Times Press (M) Bhd dengan menulis nama pesakit di belakang cek ke alamat Jabatan Kewangan/Unit Kebajikan NSTP, 31, Jalan Riong, 59100 Kuala Lumpur atau menghubungi talian 03-22823131 sambungan 6659.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Demibaktikepadaibu/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...