Friday, October 1, 2010

Dihalau cara halus

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my
2010/10/01

PUTRAJAYA: Campur tangan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dituntut bagi menyelesaikan masalah segelintir peniaga tempatan di pusat beli-belah yang terpaksa melangkah keluar dari premis mereka selepas mendakwa dilayan secara tidak sihat oleh pengurusan pusat beli-belah berkaitan.

Pengerusi Biro Ekonomi dan Pembangunan Usahawan Pemuda Umno, Datuk Sohaimi Shahadan, berkata kementerian perlu mewujudkan garis panduan berkaitan perkara itu supaya ia boleh diguna pakai pengurusan pusat beli-belah di Malaysia.

Beliau berkata, peniaga perlu dibantu bagi mengelakkan mereka terpinggir sehingga menyumbang kepada kegagalan mewujudkan lebih ramai usahawan berjaya. Sohaimi berkata demikian selepas meninjau premis butik Zaida’s Collection di Kompleks Alamanda, di sini, apabila pemiliknya, Zaida Abdul Aziz, terpaksa menutup operasi premisnya, malam kelmarin, gara-gara ‘mainan’ pengurusan pusat beli-belah terbabit.


Mengulas lanjut, beliau berkata, lebih 20 peniaga di pusat beli-belah itu menerima nasib sama seperti Zaida, tetapi mereka hanya mendiamkan diri sehingga terpaksa menamatkan perniagaan mereka. “Kes di Alamanda ni bukan kes pertama...pihak pengurusan KLCC yang turut mengendalikan Alamanda dan Suria KLCC sebelum ini pernah melakukan perkara sama dengan sengaja menaikkan kadar sewa yang melampau dan menekan dengan cara ‘halus’ bagi menyingkir peniaga terbabit,” katanya.


Berdasarkan kepada keadaan yang dihadapi peniaga itu, beliau berkata, sudah tiba masa bagi kerajaan untuk campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan yang hanya mementingkan keuntungan sehingga sanggup melakukan tindakan sewenang-wenangnya termasuk menindas dan menganiaya peniaga di premis mereka.


Sebelum ini, Ismail Sabri pernah mengeluarkan kenyataan bagi membantu peniaga tempatan yang diarah keluar dari pusat beli-belah Alamanda selepas menerima aduan daripada mereka.


Sementara itu, Zaida berkata, lebih enam tahun dia menjalankan perniagaan di pusat beli-belah itu termasuk ketika premis itu tidak sepopular sekarang.


Tanpa berselindung, katanya, dia memperuntukkan RM100,000 bagi mengubah suai butiknya seperti yang diminta pengurusan dan ia tidak termasuk RM300,000 bagi pengubahsuaian peringkat awal pembukaan premis, tetapi kecewa kontrak perniagaannya tetap ditamatkan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Dihalaucarahalus/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...