Friday, October 1, 2010

Dua pelajar tidur lokap

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/10/01

AMPANG: Dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini, terpaksa meringkuk dalam lokap selama dua hari selepas ditahan di rumah masing-masing di Ampang, di sini kerana mencabul dua pelajar perempuan, Selasa lalu.

Menurut sumber polis, kejadian berlaku kira-kira jam 4 petang Jumaat lalu di dalam kawasan sekolah ketika kedua-dua dua mangsa menuruni tangga sebelum terserempak sekumpulan pelajar lelaki yang berada di situ.

“Dua pelajar perempuan berkenaan pada mulanya berniat ponteng kelas, bagaimanapun nasib mereka malang apabila dikepung sekumpulan pelajar lelaki yang ketika itu melepak di tangga.

“Seorang daripada pelajar lelaki terbabit meraba buah dada mangsa,” katanya.

Sumber terbabit berkata, berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan dua pelajar lelaki terbabit ditahan sebelum mereka dibebaskan dengan jaminan polis selepas dua hari berada dalam lokap.

“Kami sudah memanggil pelajar yang menjadi mangsa untuk membuat pengecaman. Bagaimanapun, dia mendakwa dua pelajar terbabit hanya berada di situ dan tidak meraba mereka.

“Hanya seorang pelajar yang melakukan perbuatan terkutuk itu, tetapi dia sudah dibuang sekolah dan kami mungkin akan menahannya dalam tempoh terdekat untuk siasatan lanjut,”
katanya.

Selain itu, polis memburu beberapa pelajar di sekolah sama selepas seorang lagi mangsa membuat aduan berhubung kes cabul membabitkan dirinya yang berlaku Julai lalu.

“Mangsa takut untuk membuat laporan polis kerana pelajar lelaki terbabit mengambil gambarnya ketika dicabul dan mengugut akan memasukkan foto itu dalam laman facebook.

“Malah, mangsa turut diminta membayar wang kepada pelajar terbabit jika mahu rahsianya tidak didedahkan. Bagaimanapun, dia yang sudah tidak tahan pelbagai ugutan membuat laporan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Duapelajartidurlokap/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...