Friday, October 1, 2010

'Hukuman terbaik'

Oleh Zaitie Satibi
am@hmetro.com.my
2010/10/01

KUANTAN: “Hukuman terbaik terhadap kamu adalah denda dan sebatan. Ini kerana jika kamu dipenjarakan menyebabkan kamu dibuang kerja dan menjejaskan masa depan.

“Sebatan dikenakan syariah tidak sama dengan sivil kerana bertujuan mendidik, malah sebatan juga boleh menghilangkan ketagihan terhadap arak dan dalam Islam menyebut hikmah sebatan untuk menghilangkan ketagihan terhadap benda-benda memabukkan,”
kata Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus kepada seorang pesalah minum arak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjatuhkan denda maksimum RM5,000 dan sebatan maksimum enam kali terhadap seorang penganggur, Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, dari Pasir Putih, Kelantan, mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987) kerana minum minuman memabukkan.

Dalam prosiding itu, Abdul Rahman berkata, hukuman dijatuhkan selepas pihaknya meneliti dokumen dan bukti ujian air kencing dari Jabatan Kimia selain ikrar dilafazkan tertuduh sendiri yang tiga kali mengekalkan pengakuan bersalah.

“Menerusi laporan ujian dijalankan terhadap spesimen diambil daripada tertuduh, didapati arak jenama Tiger Beer diminumnya mengandungi 32.9 peratus bahan dikenali methyl alcohol manakala setiap 100 mililiter air kencing tertuduh mengandungi 254 miligram alkohol berkenaan.

“Pertuduhan terhadap pesalah dibaca dengan jelas dan tertuduh mengaku kesalahannya dengan rela hati ketika menyatakan ikrarnya ketika didakwa kali pertama pada 24 Mei seterusnya pada 1 Julai lalu dan hari ini,”
katanya.

Katanya, mahkamah berpuas hati apabila tertuduh mengaku salah minum arak secara ikrar selain masih mengekalkan pengakuannya itu tanpa ragu-ragu dengan rela hati tanpa wujud paksaan mana-mana pihak.

“Mahkamah memberi ruang masa yang panjang untuk tertuduh memikirkan kesalahannya dan masih tetap mengekalkan pengakuan sama tetapi membuat rayuan meringankan hukuman apabila hanya mampu membayar denda RM3,000 serta satu sebatan tanpa penjara.

“Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Syarie memohon mahkamah menolak rayuan itu dengan alasan hukuman diminta tertuduh masih ringan berbanding kesalahan dilakukan yang disifatkan sebagai ibu segala kejahatan,” katanya.

Abdul Rahman berkata, mereka yang meminum arak hingga mabuk akan banyak melakukan perkara tidak baik dan sebab itu Islam memandang keji perbuatan terbabit.

“Arak adalah minuman yang mahal berbanding air minuman biasa, ia juga boleh merosakkan akal fikiran dan penyebab berlaku kemalangan. Di Amerika Syarikat, statistik paling tinggi menunjukkan purata pemandu yang minum arak banyak menyebabkan kemalangan.

“Ini menunjukkan arak adalah minuman yang tidak baik dan tidak mustahil boleh menyebabkan berlaku kes bunuh, rogol dan hilang maruah sebagai manusia jika dalam keadaan mabuk seseorang itu menanggalkan pakaiannya,” katanya.

Beliau berkata, hukuman sebatan terhadap tertuduh akan dijalankan di mana-mana penjara yang akan ditetapkan kelak selain bakal dipenjara setahun jika gagal membayar denda.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Hukumanterbaik/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...