Thursday, December 30, 2010

Cekup kaki temberang

KUANTAN: Kegiatan licik seorang lelaki yang bijak menyamar serta menipu golongan wanita terutama warga emas berakhir apabila dia ditahan sepasukan anggota polis di Felda Sungai Koyan 1, dekat Kuala Lipis, Isnin lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari, lelaki berusia 40 tahun itu mendakwa dia dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Raub datang ke rumah mangsa di Kampung Sungai Pasu, dekat Raub untuk membuat taksiran mengenai bantuan yang perlu dihulurkan.


Bagaimanapun, selepas hampir setengah jam berada dalam rumah mangsa, kaki temberang terbabit kemudian meminta mangsa membayar wang pendahuluan RM1,150 untuk tujuan kos penghantaran barang bantuan kepada mangsa.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Samsuddin Wan Osman berkata, selepas meyakinkan mangsa berusia 60 tahun itu, lelaki terbabit menerima wang pendahuluan sambil disaksikan suami dan anak perempuan mangsa yang kebetulan berada di rumah.


Menurutnya, bagaimanapun, lelaki terbabit kemudian berjanji akan datang semula ke rumah mangsa dengan seorang jurugambar untuk merakamkan gambar bersama barang bantuan dijanjikan kepada mangsa.


Katanya, bagaimanapun, selepas seharian menunggu, mangsa bersama suaminya kemudian menyedari dirinya tertipu sebelum anak perempuan mangsa menghubungi JKM untuk membuat pengesahan bantuan itu.

Laporan berhubung kejadian terbabit dibuat mangsa bersama suaminya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Raub, kelmarin.


“Sepasukan anggota polis yang menjalankan gerakan memburu berjaya mengesan suspek terbabit Felda Sungai Koyan 1 di Lipis pada jam 6.30 petang, kelmarin sebelum dibawa ke IPD Raub untuk siasatan.

“Susulan tertangkapnya lelaki terbabit, polis yakin dapat menyelesaikan tiga kes jenayah membabitkan penipuan di daerah ini sebelum ini,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.


Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tidak lebih 10 tahun penjara, sebat atau denda atau kedua-duanya sekali.


Wan Samsuddin berkata, polis menasihatkan orang awam terutama warga emas tidak mudah terpedaya pujukan segelintir individu tidak dikenali.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cekupkakitemberang/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...