KUALA LUMPUR: “Terima kasih atas bantuan yang dihulurkan. Saya tidak akan serahkan anak dalam kandungan ini dan berazam untuk membesarkan mereka dengan baik dan memulakan kehidupan baru bersama keluarga,” kata Aishah Ismail, ibu empat anak yang ingin menyerahkan anaknya kepada orang lain kerana kesempitan hidup.
Katanya, dia bersyukur atas segala bantuan yang diterima daripada orang ramai selepas kisah dia dan suaminya mahu anak dalam kandungan diserahkan kepada orang lain disiarkan akhbar ini, kelmarin.
Menurutnya, dia hanya mahukan anaknya mengecapi hidup dan bersekolah seperti kanak-kanak lain kerana selama ini kehidupan mereka dihimpit masalah kewangan.
“Sebagai ibu, saya ingin melihat anak saya mempunyai pelajaran dan hidup seperti rakan seusia dengannya yang lebih bernasib baik. Sekurang-kurangnya, dia dapat bermain dan tinggal di rumah yang selesa berbanding bilik kecil sekarang.
“Saya tidak akan membiarkan hidup kami sekeluarga terumbang-ambing lagi. Saya sudah berbincang dengan suami untuk menguruskan kewangan dengan baik dan menjalani hidup seperti biasa ditambah dengan kehadiran orang baru yang bakal lahir Julai nanti,” katanya ketika ditemui semalam.
Aishah berkata, kedaifan hidupnya sekeluarga sebelum ini mengajarnya supaya bersabar dan tabah walaupun ada ketikanya dia seperti hilang pertimbangan dan berputus asa dengan kehidupan keluarganya.
“Alhamdulillah, tekanan itu mula hilang dan saya lebih yakin untuk menempuhi hidup bersama suami dan anak-anak. Yang penting, anak-anak dapat merasai hidup seperti yang sepatutnya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Azambesarkansendirianak/Article/index_html
No comments:
Post a Comment