Thursday, December 30, 2010

Mahfuz, Anwar puji corak permainan Harimau Malaya

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Dis: Para pemimpin Pakatan Rakyat turut mengambil peluang mengucapkan tahniah dan syabas buat pasukan bola sepak negara yang akhirnya mengakhiri kemarau 14 tahun dengan menjuarai Piala Suzuki AFF 2010.

Malaysia, walaupun tewas 2-1 di gelanggang lawan semalam namun berjaya merangkul kejuaraan selepas mengatasi Skuad Garuda Indonesia dengan agregat 4-2.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar yang teruja dengan kemenangan itu terus menghadiahkan sebuah ‘pantun’ beliau kepada skuad bola sepak negara semasa dihubungi Harakahdaily.

“Kita kalah bermaruah, menang tanpa rasuah… sehinggakan keputusan tidak dapat dicatur penjudi-penjudi bola,” katanya sambil menambah bahawa kehebatan skuad negara terbukti apabila pihak lawan Indonesia gagal menjaringkan gol di Bukit Jalil, akan tetapi mereka dapat menjaringkan gol di tempat lawan.

Pada perlawanan malam tadi, Malaysia memperoleh gol pertama melalui Safee Salee pada minit ke-54 saingan separuh masa kedua, manakala Indonesia berjaya mendapat satu gol hasil rembatan Mohammad Nasuha (m-72) dan gol sendiri pemain Malaysia, Mohamad Muslim Ahmad (m-88).

Paling menarik, sepakan penalti Firman Utina berjaya dinafikan oleh penjaga gawang negara, Khairul Fahmi Che Mat.

Terdahulu pada aksi peringkat pertama perlawanan akhir di Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur, Malaysia menang 3-0.

Bagi Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pula, beliau yang kini di luar negara berkata beliau hanya mampu mengikuti perkembangan perlawanan akhir AFF di Twitter, yang dikatakannya sungguh meriah.

“Di sebalik acara padat, saya sebolehnya cuba ikuti juga perkembangan perlawanan lewat Twitter yang nyata meriah sekali. Tahniah atas sokongan padu rakyat Malaysia yang tak putus-putus memberi semangat.

Ternyata K. Rajagobal telah meletakkan prestasi pasukan Harimau Malaya ke satu tahap yang berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini. Semoga ianya membuahkan sesuatu yang lebih positif untuk tahun 2011,” ujarnya selepas mendapat berita kemenangan skuad negara.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30089:mahfuz-anwar-puji-corak-permainan-harimau-malaya&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...