Updated: Khamis Disember 30, 2010 MYT 2:13:19 PM
KUALA LUMPUR: Produser dan dramatis 90-an, A. Aida memfailkan permohonan bagi menuntut tunggakan nafkah dua orang anak bernilai RM85,000 daripada bekas suaminya, Ameng yang merupakan vokalis kumpulan Spring.
A. Aida atau nama sebenarnya Zaida Awang, 40, mendakwa Ameng gagal menjelaskan nafkah anak selama 85 bulan, iaitu sejak mereka sah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 17 Disember 2003.
Pasangan tersebut berkahwin pada 1994 di Terengganu.
Semasa bercerai, Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 42, bersetuju untuk membayar RM1,000 sebulan sebagai nafkah anak, Wan Az Aleesa, 14, dan Wan Azevanatassha, 9, yang perlu dijelaskan pada minggu pertama setiap bulan.
Produser drama Halimah Jongang itu memfailkan permohonan tersebut pada 21 Disember lalu menerusi peguam-peguam syarie Nor Azmi Mohd Arif dan Normawaddah Ramli.
Kes disebut untuk kali pertama di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Khamis.
Pada prosiding itu, Hakim Syarie Abdul Walid Abu Hassan bertanyakan mengapa permohonan itu lewat difailkan, iaitu telah melebihi tempoh enam tahun.
“Plaintif (Aida) cuba untuk memberi peluang kepada defendan (Ameng). Bagaimanapun, nafkah tidak pernah dimasukkan ke dalam akaunnya,” kata Nor Azmi.
Abdul Walid kemudiannya bertanyakan kerja defendan (yang tidak dinyatakan pada dokumen) dan Nor Azmi memaklumkan Ameng adalah seorang artis.
Selepas meneliti dokumen yang berkaitan, Abdul Walid membenarkan permohonan Aida untuk mendapatkan perintah bagi memulakan prosiding tunjuk sebab terhadap Ameng mengenai kegagalannya membayar nafkah.
Prosiding kes tersebut akan berjalan di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan tarikhnya akan dimaklumkan pada masa akan datang.
Aida yang mendirikan perkahwinan kali kedua dengan Ketua Bahagian Perhubungan Awam, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Suffian Sulaiman hadir berseorangan di mahkamah.
“Saya dah banyak kali minta (nafkah anak) daripada Ameng, tapi dia suruh saya minta dengan lelaki lain,” katanya kepada media di luar mahkamah.
Pada 1 November lalu, Ameng dihukum penjara dua bulan dan denda RM4,000 serta diletakkan di bawah pengawasan selama tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini selepas didapati bersalah memasukkan ganja ke dalam badannya.
Dia semasa membela diri atas tuduhan itu mendakwa pertuduhan tersebut adalah konspirasi antara Aida dan Suffian untuk memalukan dirinya.
Ameng telah berkahwin lain pada 2004 dengan Sabariah Zakaria, 40, dan dikurniakan seorang anak, Wan Amar Haikal yang kini bersusia tiga tahun.
No comments:
Post a Comment