PETALING JAYA: Selepas enam tahun atau dua penggal menerajui tampuk kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Syed Shahrir Syed Mohamud terpaksa melepaskan jawatan Presiden yang disandangnya kepada pesaingnya, Mohd Khalid Atan apabila kalah dalam pemilihan, semalam.
Persaingan sengit dua penjuru itu menyaksikan Mohd Khalid yang juga bekas Timbalan Presiden MTUC penggal lalu yang mendapat 255 undi menang dengan kelebihan 42 undi berbanding Syed Shahrir yang hanya mengumpul 213 undi.
Jawatan Timbalan Presiden pula dimenangi Mohd Jafar Abd Majid dengan 170 undi manakala Abdul Halim Mansor (bekas Timbalan Setiausaha Agung) dipilih menjawat Setiausaha Agung MTUC mengatasi dua calon lain selepas mendapat 188 undian. Keputusan pemilihan dibacakan Ketua Pemeriksa Undi, N Rajamorganan pada jam 8.10 malam selepas lebih lima jam menunggu kiraan undi selesai.
Seramai 475 perwakilan daripada 119 kesatuan membuang undi sejak jam 9 pagi, berbanding 552 perwakilan yang direkodkan layak untuk mengundi.
Mohd Khalid berkata, fokus dan langkah utama akan dilakukannya adalah menyatupadukan kembali semua kesatuan pekerja yang ada di negara ini sekali gus meneruskan kegemilangan pentadbiran terdahulu.
“Saya anggap ini mandat penting diberi kepada saya dan selepas kejayaan menyatupadukan ahli, kita akan fikirkan langkah seterusnya.
“Ia tentulah tertumpu kepada masalah ahli dan beberapa isu lain yang harus diketengah dan kita akan fikirkan pendekatan terbaik membela nasib mereka.
No comments:
Post a Comment