Thursday, December 30, 2010

Kami tak sisih

SUNGAI PETANI: “Saya dan ibunya serta keluarga tidak pernah menyisihkan mereka suami isteri, jadi saya menyeru semoga kak cik bersama anak dan suami pulang ke kampung,” kata Mat Tahir Jidin, 68, bapa kepada Aishah Ismail, 26, yang sanggup menyerahkan anak dalam kandungan akibat dihimpit kemiskinan di Kuala Lumpur.

Muka depan Harian Metro semalam menyiarkan keluhan Shahrul Rahman, 33, yang tinggal di Kota Damansara yang mahu menyerahkan anak dalam kandungan isterinya kepada keluarga lain atas alasan tidak mampu menampung kehidupannya sekeluarga.


Mat Tahir berkata, dia begitu terkejut apabila anak perempuan memberitahunya yang gambar kak cik yang juga anak keenam daripada 10 beradik yang menghilangkan diri bersama suami dan tiga anaknya sejak tiga bulan lalu terpapar dalam akhbar, semalam.

Katanya, sebaik menatap akhbar itu, dia dan isteri, Sabariah Mat Nasir, 58, bukan saja terkejut, malah sedih dengan nasib menimpa anak perempuannya, namun tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka sekeluarga tidak tahu tempat tinggal mereka sejak menghilangkan diri tiga bulan lalu.


“Sejak dia dan suami bersama tiga anak menghilangkan diri, saya bersama isteri serta adik dan kakaknya cuba mengesan mereka sekeluarga tetapi gagal. Sebelum ini, Aishah dan suaminya tinggal di Taman Keladi di sini, tetapi menghilangkan diri pada Oktober lalu.


“Saya ingat Aishah dan suami serta anak ada di Sarawak kerana suaminya berasal dari sana tetapi begitu terkejut apabila akhbar ini semalam menyiarkan masalah anaknya yang terpaksa menumpang di rumah orang kerana suaminya hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM750 sebulan menghadapi masalah kewangan teruk,” katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Lebai Man di sini, semalam.

Menurutnya, masalah itu tidak timbul jika suami Aishah tidak membuat pinjaman dengan ceti haram atau along dan mengetahui mereka berdua menggunakan nama lain bagi mengelak dikesan.


Mat Tahir berkata, Aishah berkahwin kali kedua pada 2006 lalu selepas suami pertamanya meninggal dunia akibat demam denggi dan selepas berkahwin, dia mengikut suami barunya tinggal di Taman Keladi dan mengusahakan kantin sekolah.

“Jadi saya merayu kepada Aishah pulang saja ke pangkuan keluarga di Kampung Pengkalan Lebai Man, malah selama ini pun kami tidak pernah menyisih,” katanya.


Katanya, dia berharap Aishah dapat menghubungi kakaknya, Sarimah di talian 019-4942206.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kamitaksisih/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...