Thursday, December 30, 2010

Galak anak-anak ceburi bidang ICT

Ismail Hashim

SHAH ALAM, 30 Dis: Anggota masyarakat terutamanya ibu bapa wajar mengarahkan minat anak-anak mereka memilih ICT sebagai kerjaya dan sumber kewangan lumayan.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dunia hari ini sudah berubah dan anggota masyarakat juga termasuk ibu bapa harus mengikuti peredaran zaman.

Abdul Khalid berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Pertandingan Animax dan Merekabentuk Pusat Siber Sihat sempena Festival Sains Teknologi dan Inovasi Selangor 2010 (FesSTIS 2010).

Pertandingan ini adalah anjuran Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Selangor yang dipengerusikan Hajah Rodziah Ismail.

Seramai 66 peserta dari pada 22 kumpulan telah menyertai pertandingan dua kategori di atas pada tahun ini yang telah mencipta karya berkualiti tinggi dan sengit.

“Jika dahulu ibu bapa sering menggalakkan anak-anak untuk berjaya sebagai doktor, peguam, akauntan dan jurutera, kini pemikiran sedemikian harus berkembang.

“Peluang-peluang baru untuk anak-anak kita begitu banyak dan kita harus memberikan kebebasan dan galakan sepenuhnya kepada mereka untuk merebut peluang-peluang tersebut.

“Menyedari hakikat itu jugalah Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat bergerak pantas untuk memacu pembangunan ICT di negeri ini,” tegas Abdul Khalid menerusi teks dibacakan oleh Rodziah, di sini petang semalam.

Dalam pada itu, menteri besar berkata, paling utama memastikan negeri ini terus berada pada landasan kemajuan tepat dan rakyat mendapat peluang seluas-luasnya untuk mengecap kejayaan.

Bagi anak-anak muda dan pelajar-pelajar sekolah, khususnya yang berbakat dalam lukisan animasi dan juga berminat dalam bidang ICT, mereka harus membuka minda dan menimbang peluang-peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri ini, tambahnya.

Sekolah-sekolah dan pusat-pusat pengajian juga, pintanya, wajar menyediakan maklumat lengkap untuk membolehkan pelajar mengetahui secara lebih mendalam tentang kerjaya dalam bidang ini.

Begitu juga, Abdul Khalid menyeru ibu bapa membuka minda dan menggalakkan anak-anak yang berbakat dan berkecenderungan dalam seni lukisan dan animasi untuk memburu kecemerlangan.


“Rakyat negeri ini seharusnya berasa beruntung kerana berada di bawah naungan Kerajaan Negeri yang telah menunjukkan sikap proaktif dalam mencari dan meneroka bidang baru.

“Kerajaan negeri juga bersedia untuk merebut peluang-peluang dalam industri kreatif multimedia yang mampu menjanjikan pelbagai ganjaran dan pulangan lumayan,” ujarnya.

Pertandingan Pusat Siber Sihat adalah acara julung kali dianjurkan pada tahun 2010 sebagai satu usaha untuk membantu menyelesaikan masalah perlesenan pusat siber yang dibekukan sejak 2007.

Program ini mendapat kerjasama Persatuan Pemilik Pusat Siber Selangor, Penguatkuasa Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Pengajian Tinggi Awam bagi mendapatkan maklumbalas akhirnya menjadikan acara ini sebagai salah satu program FesSTIS 2010.

http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30090:galak-anak-anak-ceburi-bidang-ict&catid=1:utama&Itemid=50

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...