Thursday, December 30, 2010

Malaysia Juara Piala Suzuki AFF Buat Kali Pertama

Published: Rabu Disember 29, 2010 MYT 9:10:00 PM
Updated: Rabu Disember 29, 2010 MYT 10:44:22 PM

Pasukan Malaysia meraikan kejayaan gemilang merangkul Piala Suzuki AFF buat kali pertama selepas menewaskan Indonesia secara agregat 4-2 di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta di sini, Rabu. Foto AP.

JAKARTA Buat julung kalinya, skuad bola sepak Malaysia berjaya merangkul gelaran juara sekali gus membawa balik piala kebanggaan apabila menang secara agregat 4-2 pada perlawanan akhir kedua di Stadium Gelora Bung Karno, Rabu.

Bagaimana pun, skuad kendalian K.Rajagobal itu menerima serangan bertalu-talu daripada pasukan Garuda, namun barisan pertahanan cemerlang memainkan peranan mereka dalam menepis serangan ini.

Pasukan Indonesia nyaris mendapat gol pertama apabila pengadil memberi sepakan penalti selepas bola terkena tangan Mohd Sabree Mat Abu pada minit ke-18, namun sepakan yang dilakukan oleh kapten pasukan Garuda, Firman Utina berjaya diselamatkan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat yang bijak membaca pergerakan pemain tuan rumah itu.

Pemain Malaysia meraikan kejayaan Safee Sali menjaringkan gol awal ketika menentang Indonesia pada perlawan akhir kedua, Piala Suzuki AFF di Stadium Gelora Bung Karni, Jakarta malam ini. Foto AP.

Kedua pasukan terikat tanpa jaringan pada separuh masa pertama.

Babak kedua menyaksikan perlawanan lebih menarik selepas pasukan Indonesia lebih banyak mengatur serangan namun pujian sekali lagi harus diberi kepada penjaga gol negara, Khairul Fahmi kerana menyelamatkan gawang dengan percubaan berbahaya terutama sekali hantaran yang dilakukan pemain lincah Indonesia, Muhammad Ridwan.

Biarpun Malaysia jarang melakukan serangan, namun hantaran jauh Mohd Ashari Samsudin di sebelah kanan tepat kepada Mohd Safee Mohd Sali sekali gus membuat lorongan laju menggunakan kaki kirinya terus ke gawang lawan pada minit ke-53.

Gol penyamaan hadir pada minit ke-72 selepas Mohammad Nasuha merembat bola muntahan daripada penjaga gol Khairul Fahmi.

Namun pada babak akhir perlawanan, pemain pertahanan negara, Mohamad Muslim Ahmad silap membuat percaturan apabila cuba menyelamat bola dengan menanduk ke arah gol sendiri.

Perlawanan tamat dengan keputusan 1-2.

Sementara itu, kejayaan ini dianggap lebih manis apabila penyerang negara, Mohd Safee Mohd Sali turut dinobatkan penjaring terbanyak selepas mengumpul lima gol.

Manakala pemain terbaik perlawanan dimenangi oleh pemain tengah Indonesia, Firman Utina.

Pada perlawanan pusingan pertama yang berlangsung Ahad lalu, skuad Harimau Malaya ini telah menundukkan Indonesia 3-0 di Stadium Nasional Bukit Jalil.

http://mstar.com.my/variasi/sukan/cerita.asp?file=/2010/12/29/mstar_sukan/20101229210813&sec=mstar_sukan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...