There was an error in this gadget

Thursday, August 11, 2011

Dr Ling tidak buat keputusan beli tanah

Dr Ling tidak buat keputusan beli tanah
Ogos 10, 11 6:00pm


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini diberitahu bahawa keputusan membeli tanah di Pulau Indah bagi projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) adalah keputusan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), dan bukannya bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik.

NONEBekas Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan, Kementerian Pengangkutan, Datuk Abdul Rahman Mohd Noor, 61, berkata mesyuarat LPK pada 24 Januari 2002 memutuskan supaya tanah seluas 1,000 ekar (400 hektar) di Pulau Indah diperoleh dengan cara pembelian dan bukannya pengambilan balik.

Katanya berdasarkan minit mesyuarat LPK, keputusan pembelian tanah dibuat sebagai alternatif berikutan wujudnya beberapa masalah, iaitu tindakan Kementerian Kewangan yang mengambil masa agak lama iaitu tiga tahun sejak keputusan Jemaah Menteri dan masih belum berhasil dengan pendekatan pengambilan tanah oleh kerajaan.

Selain itu, katanya, ia juga disebabkan hasil kajian LPK dengan Jebel Ali Free Zone International (JAFZI) yang mendapati masa untuk menjayakan projek PKFZ adalah kritikal.

Abdul Rahman turut memberitahu bahawa mesyuarat peringkat Kementerian Pengangkutan pada 23 Jan, 2002 membincangkan cadangan pembelian terus tanah tersebut seperti yang dicadangkan oleh kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM450 juta menerusi bawah Rancangan Malaysia Kelapan.

Tambah beliau, turut dibangkitkan pada mesyuarat itu ialah isu penekanan terhadap hak milik tanah dan pembayaran tunai serta menolak bayaran tertangguh.

Abdul Rahman berkata LPK membuat penilaian pada tanah tersebut menggunakan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

Beliau yang terlibat sejak awal projek PKFZ dirancang, turut memberitahu bahawa tidak pernah memberi apa-apa memo kepada Dr Ling bagi membetulkan terma persetujuan bersama Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) yang memasukkan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus.

Menurutnya, Kementerian Kewangan sedia maklum mengenai kadar faedah 7.5 peratus dan tahu mengenai keputusan membeli dan bukannya pengambilan balik tanah.

Di awal prosiding, Abdul Rahman berkata dalam urusan projek PKFZ, Dr Ling bertindak mengikut saranan pegawai di kementeriannya dan Dr Ling tidak pernah menolak pandangan dan keputusan pegawai terlibat.

Abdul Rahman berkata Dr Ling juga tidak membantah arahan pengambilan tanah oleh Kementerian Kewangan dan bertindak mengadakan mesyuarat untuk proses tersebut.

NONEDr Ling dituduh menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000, sedangkan beliau tahu JPPH dalam menentukan nilai kadar RM25 skp, telah mengambil kira kadar kupon/faedah.

Bekas menteri itu juga menghadapi dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada Jemaah Menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.

Bekas presiden MCA itu didakwa melakukan semua kesalahan itu di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, antara 25 Sept dan 6 November 2002.

Pada prosiding sesi petang, Abdul Rahman memberitahu bahawa tiada bantahan daripada wakil Kementerian Kewangan dibuat berhubung urusan perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian daripada JPPH.

"Berdasarkan minit mesyuarat bertarikh 15 November 2002, wakil Kementerian Kewangan tidak bantah," kata Abdul Rahman ketika disoal peguam Wong Kian Kheong yang mewakili Dr Ling.

Beliau turut memaklumkan sepanjang perkhidmatannya sebagai Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) di Kementerian Pengangkutan, tiada sebarang nota diberikan berhubung urusan tersebut. (Perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH).

Menjawab soalan Wong sama ada beliau ada menerima sebarang aduan daripada Kabinet bahawa perjanjian jual beli tanah antara KDSB dan LPK tidak mengikut penilaian JPPH, saksi keempat pendakwaan itu berkata "tidak"

Abdul Rahman memberikan jawapan sama ketika disoal Wong sama ada beliau ada menerima aduan daripada Kementerian Kewangan dan JPPH berhubung urusan yang dibuat oleh KDSB dan LPK tidak menurut penilaian JPPH.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmadi Asnawi bersambung esok.

- Bernama



http://malaysiakini.com/news/172596

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...