Thursday, August 11, 2011

Saham MAS: GLC akan ditelan konglomerat gergasi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Dewan Pemuda PAS Malaysia melahirkan rasa bimbang terhadap usaha kerajaan menjual saham MAS kepada Air Asia sebanyak 20 peratus.

Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar DPPM, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) berkata, penjualan itu berkemungkinan akan menyebabkan syarikat berkaitan kerajaan atau government link company (GLC) akhirnya akan hilang ditelan syarikat konglomerat gergasi seperti Air Asia.

DPPM, katanya mempersoalkan apakah relevannya kerajaan menjual saham MAS kepada Air Asia sedangkan perlu ada usaha lain bagi menyelamatkan masa depan syarikat penerbangan milik kerajaan Malaysia itu.

Beliau menambah, MAS sepatutnya mengkaji dan memperbaiki prestasi akibat kerugian yang dihadapinya sebanyak RM243.3 juta pada suku pertama tahun ini berbanding keuntungan sebanyak RM310.60 juta untuk tahun 2010.

Menurutnya, dengan penjualan saham MAS kepada Air Asia akan mewujudkan monopoli dalam sistem penerbangan negara di samping merugikan rakyat.

Katanya lagi, sifat persaingan antara syarikat penerbangan ini mungkin tidak akan wujud lagi kerana masing-masing perlu menjaga kepentingan sesama mereka.

Selain itu, ujarnya apa yang sangat dibimbangkan daripada wujudnya monopoli dalam penerbangan ini adalah akan menyebabkan harga tiket melambung tinggi mengikut selera pemilik syarikat berkenaan.

Dalam hal ini, katanya syarikat ini menjadi penentu terhadap harga tiket dan penerbangan, bukan lagi mengikut permintaan pasaran semasa.

“Jika jadi demikian, siapakah yang akan rugi jika tidak rakyat biasa?” soalnya.

Tambahnya, DPPM merasa dengan penjualan saham ini akan menyebabkan sebuah lagi syarikat GLC milik kerajaan bakal lingkup selepas beberapa GLC ‘gulung tikar’ sebelum ini seperti yang berlaku kepada Dawama.

Akhirnya, ujar beliau akan tinggal hanya Petronas sahaja yang memainkan peranan bagi menyelamatkan ekonomi negara daripada musnah.

Katanya, kerajaan sepatutnya memainkan peranan penting dalam memastikan syarikat GLC terus bernafas dan bersaing dalam pasaran semasa.

Beliau berkata, kegagalan GLC dalam menempatkan diri dalam pentas perniagaan menunjukkan kegagalan kerajaan mengatur ekonomi negara.

“Apakah akan jadi kepada ekonomi negara jika GLC semakin banyak yang lingkup dan tidak mampu meneruskan lagi perniagaan mereka?” tanya beliau lagi.

Beliau menambah, yang rakyat bimbangi akan menyebabkan peningkatan kadar inflasi, jurang kemiskinan yang semakin melebar serta mengakibatkan persengketaan berpanjangan akibat permainan monopoli oleh syarikat-syarikat bertaraf gergasi.

Persoalannya sekarang, kata beliau mengapa GLC yang bernaung dibawah kerajaan Umno BN kebanyakkannya menjadi tidak berdaya saing seperti mana syarikat-syarikat swasta yang dilihat lebih terkehadapan.

“Apakah GLC ini menjadi ‘lubuk’ kepada pimpinan Umno BN mengaut keuntungan demi untuk kepentingan peribadi dan bukannya untuk GLC itu sendiri?” soalnya.

Justeru, ujarnya DPPM mengingatkan kepada rakyat sekiranya mahu melihat GLC yang selebihnya tidak menuju kehancuran, kerajaan yang sedia ada harus ditukar kepada kerajaan yang lebih telus dan beritegriti demi memastikan kestabilan ekonomi negara terus dipacu kehadapan bukannya ‘dibelasah’ oleh mereka yang berkepentingan.

Kata beliau lagi, Dengan berkembangnya GLC sehingga ke tahap global juga boleh memastikan sosio ekonomi juga turut berkembang.

Ini juga, tambahnya akan membuka peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia kerana negara sekarang sedang berdepan dengan kadar pengangguran yang agak membimbangkan.

“Ini berdasarkan jawapan di Parlimen dan kenyataan akhbar oleh Menteri Sumber Manusia Datuk S. Subramaniam pada Jun 2010 dan statistik Jabatan Perangkaan Jun lepas, menyatakan kadar pengangguran adalah pada tahap 3.7 peratus atau sekitar 426,600 orang yang menganggur,” katanya.

Justeru, katanya DPPM mengajak semua rakyat agar melakukan perubahan demi menyelamatkan GLC yang masih ‘bernyawa’ terus subur dan tiada jalan lain iaitu dengan memastikan Umno BN hendaklah ditumbangkan di dalam pilihan raya umum ke-13 yang akan datang.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4844-saham-mas-glc-akan-ditelan-konglomerat-gergasi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...