Thursday, August 11, 2011

RUM digesa 'berkorban', utamakan pengguna

Salhan K Ahmad
Ogos 11, 11
3:38pm


Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Bhd supaya menangguhkan rancangannya untuk menjalankan tindakan industri dalam tempoh sambutan hari raya yang dibimbangi akan menjejaskan perjalanan 50,000 orang pengguna keretapi.

Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak berkata RUM tidak sepatutnya memilih tempoh sambutan hari raya untuk menjalankan tindakan kerja ikut peraturan itu.

NONE"Sebab pengguna dan rakyat tidak ada masalah dengan (RUM). Masalah RUM adalah dengan pengurusan mereka sendiri.

"Sempena bulan baik ini, berkorbanlah sikit, barulah ramai yang akan bersimpati dengan dia. Kalau dia berkorban sedikit mungkin lebih dipermudahkan urusan dia dengan majikan.

"Jadi tangguh dululah (kerja ikut peraturan). Janganlah jadikan pengguna sebagai tebusan," katanya lagi ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Tambahnya, rayuannya itu tidaklah bermaksud untuk menafikan hak RUM bagi menjalankan tindakan industri berkenaan.

"Kita bukan belakangkan dia punya tuntutan. Kalau dia ada tuntutan yang sah, teruskanlah. Tapi cubalah beri pertimbangan kepada orang ramai," katanya lagi.

Beliau berkata demikian ketika mengulas rancangan RUM untuk menjalankan tindakan kerja ikut peraturan – tindakan yang antara lainnya didakwa akan menunjukkan kelemahan dalam pelaksanaan tahap piawaian keselamatan tren oleh syarikat Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB).

Presiden RUM, Abdul Razak Abdul Hamid berkata tanggungjawab ke atas kelemahan itu perlu diletakkan ke atas pengerusi KTMB, Dr Aminuddin Adnan.

Beliau bertegas untuk meneruskan tindakan kerja ikut masa sekiranya KTMB tidak menamatkan perkhidmatan Aminuddin.

NONEAbdul Razak juga sebelum ini berkata, KTMB menunjukkan sikap "bongkak" apabila syarikat berkenaan memberi jaminan bahawa perkhidmatan tren berkenaan tidak akan terjejas dengan tindakan industri yang akan diambil RUM.

Abdul Razak (foto) berkata demikian ketika mengulas jaminan yang diberikan KTMB sebelum ini bahawa syarikat itu telah mengatur beberapa pelan bagi menghadapi tindakan industri yang akan diambil RUM.

KTMB juga dilaporkan sedang menimbang untuk menambah bilangan koc bagi perjalanan ke Pantai Timur memandangkan tiket ke destinasi berkenaan bagi tempoh 26 hingga 29 Ogos telah habis dijual.

"(Tindakan KTMB) adalah satu tindakan yang jelas menggambarkan kesombongan, bongkak, ego serta degil," kata Abdul Razak lagi yang menjangkakan bahawa perkhidmatan tren akan terjejas sehingga 75 peratus dalam tempoh perayaan tersebut.

Tindakan industri oleh RUM itu akan melibatkan tindakan daripada 3,600 anggotanya, di mana sebahagian besarnya merupakan pemandu lokomotif dan tren komuter.

Tindakan kerja ikut peraturan itu merupakan susulan kepada bantahan RUM ke atas keputusan syarikat tersebut untuk menyerahkan pengurusan ke atas sistem tren elektriknya kepada syarikat luar.

Langkah yang akan diambil dalam tindakan berkenaan adalah dengan mengutamakan keselamatan "bagi satu tempoh kerja" – termasuk mematuhi tempoh kerja lapan jam serta semua prosedur keselamatan melibatkan syarat pelepasan dan sijil kelayakan tren, keselamatan koc, gerabak dan lokomotif.

Tindakan itu juga dibuat dengan mematuhi prosedur keselamatan penumpang termasuk kuasa yang diberikan kepada semua pekerja yang terlibat dalam pengendalian perkhidmatan tersebut, kata Abdul Razak.


http://malaysiakini.com/news/172691

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...