Thursday, August 11, 2011

Notis usir: Saman penduduk Ladang Bkt Jalil ditolak

Notis usir: Saman penduduk Ladang Bkt Jalil ditolak
Ogos 11, 11 3:10pm


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengetepikan saman oleh penduduk Ladang Bukit Jalil, berhubung notis pengusiran dan merobohkan rumah mereka.

NONEHakim Datin Zabariah Mohd Yusof yang membuat keputusan itu di dalam kamar, turut memerintahkan penduduk ladang berkenaan supaya membayar kos RM10,000 kepada Datuk Bandar.

Peguam Ashmadi Othman yang mewakili Datuk Bandar memberitahu pemberita Hakim Zabariah memutuskan bahawa tiada merit dalam permohonan itu dan tiada kuasa tindakan terhadap Datuk Bandar.

Ditanya sama ada berikutan keputusan itu, Datuk Bandar boleh merobohkan rumah penduduk, Ashmadi menjawab boleh, bagaimanapun beliau tidak tahu mengenai langkah seterusnya yang akan diambil oleh Datuk Bandar.

Peguam K Ragunath dan Muhammad Afiq Mohamad Noor mewakili para penduduk.

Muhammad Afiq berkata mereka akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

NONEDalam permohonan yang difailkan pada 27 Mei, Datuk Bandar memohon untuk mengetepikan dakwaan itu atas dasar saman itu adalah menyusahkan, remeh dan menyalahi proses mahkamah.

Penduduk Ladang Bukit Jalil memfailkan saman itu pada 14 Mac terhadap Datuk Bandar bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa plaintif mempunyai hak ekslusif dan ekuiti terhadap tanah itu dan memohon injunksi untuk menghalang Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) daripada merobohkan rumah mereka.

Pada 10 Mei, Hakim Zabariah menolak permohonan mereka untuk mendapatkan injunksi sementara bagi menghalang DBKL daripada merobohkan rumah mereka.

Semalam, Mahkamah Rayuan mengetepikan rayuan mereka berhubung injunksi itu.

Ladang Bukit Jalil, yang sebelum ini berkeluasan 18,000 ekar, berkurangan kepada 26 ekar berikutan pembangunan pesat di kawasan itu.

NONESemasa permohonan injunksi itu didengar pada 27 April, mahkamah diberitahu bahawa DBKL telah pun menyerahkan 26 ekar tanah kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan untuk dijadikan kawasan perkuburan Islam.

Peguam mereka, Ragunath berhujah bahawa penduduk terbabit bukanlah setinggan memandangkan mereka tidak menceroboh tanah itu.

Katanya para penduduk itu tinggal di kawasan itu dalam tempoh yang agak lama selepas ladang berkenaan dijual kepada pemaju swasta.

Ashmadi dalam hujahan balasnya berkata Datuk Bandar hanya menjalankan tugas sebagai penjawat awam dengan mengeluarkan notis pengusiran dan saman terhadap Datuk Bandar itu adalah tidak wajar.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172684

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...