Thursday, August 11, 2011

Untung suku pertama Petronas naik RM290.8j

Untung suku pertama Petronas naik RM290.8j
Ogos 10, 11 11:38pm


Keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan Bhd (PDB) bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2011 meningkat sebanyak lima peratus kepada RM290.8 juta daripada RM277.2 juta dalam suku yang sama tahun lepas.

Pendapatannya melonjak 38 peratus kepada RM7.5 bilion daripada RM5.5 bilion sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, PDB mengaitkan prestasi kewangan yang lebih kukuh itu kepada harga jualan purata produk yang lebih tinggi serta peningkatan teguh jumlah jualan.

Ia mencadangkan dividen awal sebanyak 15 sen.

Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif, Amir Hamzah Azizan, berkata syarikat itu memulakan tahun ini dengan baik setelah mencipta rekod bagi jumlah jualan suku pertama dalam tiga tahun lalu.

"Ini adalah hasil daripada pertumbuhan konsisten dalam keempat-empat bahagian perniagaan teras kami iaitu runcit, komersial, gas petroleum cecair dan minyak pelincir," jelasnya.

Bagi masa depan, kata Amir, keuntungan mungkin terjejas disebabkan oleh kemungkinan berlakunya keadaan turun naik harga minyak antarabangsa, penentuan kos produk petroleum dan ekonomi global.

"Kami akan memanfaatkan prestasi kukuh dalam suku pertama ini dan terus berkembang dengan lebih agresif melalui strategi-strategi dan inisiatif serta meningkatkan margin melalui pengoptimuman kos dan kecekapan operasi," tegasnya.

Amir berkata tumpuan syarikat itu masih lagi pada usaha meraih jualan industri, memperluas rangkaian runcit, dan mengembangkan perniagaan bukan bahan api melalui kedai serbanekanya, Kedai Mesra.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172636

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...