Thursday, August 11, 2011

Pengusaha pusat hiburan Kedah beri kerjasama

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 11 Ogos: Semua pengusaha pusat hiburan di Kedah sehinga kini memberi kerjasama penuh melarang orang Islam memasuki pusat hiburan sejak 1 Ramadan lalu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Rasli Basir berkata, sehingga kini belum ada mana-mana pengusaha dikesan melanggar larangan terbabit.

“Ini kerana sejak semingu lalu tiada premis dikesan melanggar peraturan ini dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pengusaha pusat hiburan,” ujarnya pada sidang media selepas majlis pelancaran OSC Online Majlis Bandaraya Alor Setar baru baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjelaskan status terkini perlaksanaan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997 oleh kerajaan negeri Kedah yang melarang pusat hiburan beroperasi pada bulan Ramadhan, kecuali untuk pengunjung bukan Islam.

Menurutnya, walaupun Enakmen 1997 sudah lama diwartakan namun jawatankuasa masih boleh membuat beberapa kelonggaran mengikut keadaan semasa dan situasi asalkan tidak menyalahi peraturan sedia ada.

“Kita beri kelonggaran ikut situasi bagi pusat hiburan di Langkawi dengan syarat diadakan di tempat tertutup, melibatkan hotel dan resort berikutan ianya dikunjungi oleh pelancong asing dan bukan Islam.

“Pusat hiburan di Langkawi tertakluk di bawah Enakmen 1997 dan perlu mematuhi syarat lain termasuklah tidak membenarkan premis berkenaan dikunjungi orang Islam sepanjang bulan Ramadhan,” katanya.

Sementara itu menurutnya, kafe siber, pusat bowling dan snuker dikeluarkan dari kategori 13 jenis hiburan yang terkandung dalam Enakmen 1997 sebaliknya diklasifikasikan sebagai pusat riadah atau bukan pusat hiburan.

Katanya, penguatkuasaan dijalankan oleh pihak Polis, Pejabat Daerah dan Pejabat Agama. Selain Langkawi daerah lain yang juga mempunyai pusat hiburan yang banyak ialah Kota Setar, Kuala Muda dan Kulim.

Pengeluaran lesen hiburan pula adalah dibawah kawalan Pegawai Daerah selaku jawatankuasa pelesenan daerah, namun setiap daerah diberi kelonggaran menggunakan budi bicara untuk menangani masalah itu di peringkat daerah berkenaan.

Walaupun Enakmen 1997 sudah lama diwartakan namun jawatankuasa masih boleh membuat beberapa kelonggaran mengikut keadaan semasa dan situasi asalkan tidak menyalahi peraturan sedia ada, katanya.

Pada 13 Julai lalu Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak mengumumkan kerajaan negeri akan menguatkuasakan sepenuhnya Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.

Keputusan itu bagaimanapun mengundang kontroversi apabila disalah anggap mereka yang bukan Islam dengan mendakwa kerajaan kedah cuba menghalang hak mereka.

Bagaimanapun, perkara itu selesai apabila Azizan menjelaskan bahawa pusat hiburan di negeri itu boleh beroperasi namun hanya kepada orang bukan Islam sahaja.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/4849-pengusaha-pusat-hiburan-kedah-beri-kerjasama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...