Thursday, August 11, 2011

MAM, MAIS kerjasama bantu penghidap HIV

Ogos 10, 11 11:30pm

Majlis AIDS Malaysia (MAM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) telah menjalin kerjasama erat dalam menangani isu-isu sosial, kebajikan dan kemasyarakatan yang berkaitan rapat dengan HIV/AIDS terutama di sekitar kawasan Lembah Kelang dan Selangor, kata Presiden MAM, Tan Sri Mohd Zaman Khan.

NONEMAIS merupakan antara majlis agama yang tampil membantu, khususnya orang yang hidup dengan HIV dengan membiayai bantuan rumah perlindungan melalui wang kutipan zakat.

Dalam satu kenyataan, Mohd Zaman berkata, objektif utama jaringan kerja antara MAM dan MAIS adalah untuk menangani permasalahan yang dihadapi di sekitar Lembah Kelang dan Selangor dengan memberi bantuan kewangan dan sokongan dalam membantu masyarakat Malaysia yang hidup dengan HIV.

Di samping itu, MAM juga pernah diberi peluang oleh MAIS untuk melatih pegawai agama di sekitar negeri Selangor, terutamanya kepada pegawai JAIS dalam mengenal cabaran dan isu-isu yang dihadapi orang yang hidup dengan HIV/AIDS dan komuniti lain yang turut terjejas serta terdedah dengan HIV/AIDS.

Antara inisiatif-inisiatif bersama yang pernah dijalankan, termasuklah majlis, kempen media dan program kerohanian yang melibatkan program temu seru untuk komuniti terpinggir.

Pihak MAIS juga melakukan aktiviti turun padang bersama komuniti, termasuk golongan mak nyah dengan memberi informasi dalam penjagaan dan rawatan serta pendekatan agama agar mereka dapat hidup seperti manusia biasa.

Menurut Mohd Zaman lagi, MAM dan MAIS juga memperkukuhkan kerjasama dalam mempertingkatkan fungsi MAM dalam program sokong bantu kepada mereka yang hidup dengan melalui bahagian Baitulmal dan Ar-Riqab.

aids hiv care centre in malaysia 080207 bedriddenSebilangan besar orang yang hidup dengan HIV tidak berani tampil untuk mendapatkan rawatan yang sedia ada kerana bimbang akan prejudis masyarakat.

Hasil kerjasama erat ini dilihat melalui beberapa program yang efektif telah dianjurkan, antaranya program yang terbesar ialah Hari Memperingati AIDS Sedunia (IAMD).

Ia telah dilangsungkan pada 13 Mei lalu di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, hasil kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Malahan, Mohd Zaman turut merayu kepada jabatan agama yang lain semoga mencontohi MAIS dalam membantu orang yang Hidup dengan HIV di Malaysia.

Menurut kenyataan itu lagi, keprihatinan MAIS terbukti lagi dengan tertubuhnya dua rumah perlindungan orang yang hidup dengan HIV, termasuk Rumah Istana Budi di Kuang, Selangor dan Rumah Darul Ukhwah di Petaling Jaya, Selangor.

Kedua-duanya yang menempatkan seramai 50 orang, dibiayai sepenuhnya oleh MAIS dan telah menelan belanja sebanyak RM750,000 setahun.

aids hiv care centre in malaysia 080207 feedingMAIS juga telah merancang satu projek komuniti yang besar yang dikenali sebagai Projek Baitul Islah, untuk menubuhkan rumah perlindungan HIV yang boleh menetapkan lebih ramai lagi komuniti terpinggir.

Kos projek Baitul Islah, yang terletak di kawasan pendalaman Serendah, Selangor itu dan menelan belanja RM5 juta, masih dalam pembinaan dan dijangka siap pertengahan 2013.

Menurut kenyataan itu lagi, ini jelas menunjukkan MAIS begitu mengambil berat tentang isu-isu kesihatan dan kebajikan berkaitan dengan HIV/AIDS, terutamanya di kalangan masyarakat yang beragama Islam.


http://malaysiakini.com/news/172634

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...