Thursday, August 11, 2011

Suresh didakwa beri keterangan palsu

Suresh didakwa beri keterangan palsu
Ogos 10, 11 7:01pm


U Suresh, saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan kejam Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini atas tuduhan memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes itu pada Julai lalu.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya dalam Bahasa Tamil oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohamed Mokhzani Mokhtar.

Suresh, 27, pekerja ladang, didakwa telah memberi keterangan palsu dalam prosiding perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N.Pathmanabhan, T.Thilaiyalagan, R Matan dan R Khatavarayan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir, sedangkan keterangan yang dia berikan kepada pegawai perakam, ASP Ong Seng Keong pada 26 Okt 2010 di Penjara Sungai Udang, Melaka, adalah berbeza.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari 25 dan 27 Julai lepas di Mahkamah Tinggi 8 Shah Alam.

Suresh didakwa mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Azimul Azami Mohamad Nor yang mengendalikan pendakwaan berkata isu jaminan tidak timbul memandangkan tertuduh sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

Peguam Avtar Singh Dhaliwal yang mewakili Suresh bagaimanapun berkata Seksyen 193 Kanun Keseksaan ialah kesalahan yang boleh dijamin dan justeru anak guamnya berhak untuk diikatjamin.

Beliau berkata tambahan pula, Mahkamah Rayuan telah menetapkan 24 Ogos ini untuk mendengar permohonan Suresh bagi kebenaran untuk merayu terhadap penambahan tempoh hukuman penjara yang sedang dijalaninya.

"Dia juga kini seorang saksi dalam kes pembunuhan Sosilawati dan perbicaraan ituedang berjalan, oleh itu jaminan perlu diberikan," katanya.

Nur Azimul berkata walaupun Seksyen 193 adalah kesalahan yang boleh dijamin tetapi tertuduh telah didakwa sebelum ini bagi kesalahan melupuskan bahan bukti dalam kes pembunuhan itu.

"Tetapi jika tertuduh dibenar diikatjamin, pohon jaminan yang tinggi iaitu RM100,000 sebab kesalahan tertuduh ialah di mana terdapat 22 percanggahan dalam keterangannya di mahkamah," katanya.

"Itu tidak ada kaitan dengan permohonan jaminan ini. Kalau permohonan anak guam saya di Mahkamah Rayuan dibenarkan, dia akan dihadapkan semula di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, untuk diambil pengakuan baru dan kami berpendapat jaminan RM5,000 ke RM10,000 adalah wajar," kata Dhaliwal yang turut dibantu peguam Devinder Kaur Dhaliwal.

Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd. Ghani yang turut mewakili pendakwaan menjelaskan bahawa permohonan Suresh di Mahkamah Rayuan hanya untuk kebenaran merayu terhadap hukuman dan bukan pendengaran untuk peringanan hukuman.

Nur Azimul pula menambah tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan kes pembunuhan keempat-empat mangsa dan keterangannya boleh memberi kesan besar pada kes itu.

Setelah mendengar hujahan dari kedua-dua pihak, Mohamed Mokhzani membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM20,000 serta seorang penjamin dan menetapkan 3 Nov depan untuk sebutan semula kes.

Suresh merupakan saksi ke-29 pendakwaan dalam perbicaraan kes Pathmanabhan, 42, bekas peguam, dan Thilaiyagan, 20; Matan, 21; serta Khatavarayan, 31; ketiga-tiganya pekerja ladang, yang didakwa membunuh Sosilawati, 47; peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38; dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44; di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara 8.30 malam dan 9.45 malam pada 30 Ogos 2010.

Pada 15 Oktober 2010, Suresh dan seorang lagi pekerja ladang K.Sarawanan, 20, masing-masing dijatuhi hukuman penjara berjumlah 28 tahun selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Telok Datok, Banting, atas empat tuduhan melupuskan bahan bukti dalam pembunuhan itu.

Majistret Hurmain Hussain mengarahkan hukuman berjalan serentak, yang bererti Sarawanan dan Suresh masing-masing akan menjalani hukuman penjara tujuh tahun selepas tarikh mereka ditangkap pada 9 September 2010.

Namun, pada 21 Februari tahun ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohtaruddin Baki, dalam melaksanakan kuasanya di bawah Kanun Acara Jenayah (CPC) untuk menyemak keputusan mahkamah rendah, mengurangkan hukuman penjara ke lima tahun bagi setiap pertuduhan, tetapi memerintahkan ia berjalan secara berturut-turut.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/172618

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...