Friday, September 9, 2011

Kajian 'terawal' simpul Mat Indera bukan komunis

Dr Ahmad Zuhdi Marzuki
Sep 8, 11
6:25pm

Satu kajian yang dilakukan oleh Ayub @ Uiop Kassim pada tahun 1973 menyimpulkan Mat Indera bukan berfahaman komunis.

Kajian tersebut latihan ilmiah untuk keperluan pengijazahan Sarjana Muda Sastera di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, bertajuk Peristiwa Berdarah Tahun 1950 di Bukit Kepong, Muar: Satu Post-Mortem.

mat indera 060911Tujuan tulisan itu untuk mengkaji keterlibatan golongan elit agama di Muar dalam perjuangan gerila bersenjata menentang penjajah dengan tumpuan khusus terhadap Mat Indera dan peristiwa berdarah Bukit Kepong.

Meskipun kajian tersebut dilakukan di peringkat ijazah pertama, pengkaji berjaya melakukan wawancara dengan mereka yang terlibat langsung dengan peristiwa tersebut, termasuklah Nawi Idrus, ketua pengawal kampung (home guard) dan rakan-rakan Mat Indera (kiri) yang menyertainya masuk ke hutan.

Kaedah wawancara ini paling sesuai bagi mendapat maklumat sebenar disebabkan kebanyakan maklumat rasmi berkaitan dengan peristiwa Bukit Kepong disediakan oleh penjajah British melalui perisikan mereka.

Setakat kajian Pusat Penyelidikan PAS (PPP), mungkin inilah satu-satunya kajian ilmiah yang paling awal tentang Mat Indera.

Elit agama

Dalam kajian tersebut, pengkaji menyimpulkan Mat Indera sebagai golongan elit agama sebagai:

"Islam pada agamanya, demokrasi pada prinsipnya, nasionalis pada fahamannya, radikal dalam perjuangannya dan militant mengikut tindakannya."

NONESelain itu, Ayub juga pada muka surat 71 menyimpulkan Mat Indera seorang nasionalis bukannya komunis, yang bergerila bersama komunis.

Beliau menyatakan Mat Indera sebagai nasionalis dengan gerombolan komunis "seumpamanya tidak bercampur antara air dan minyak dalam satu bekas".

Kajian ilmiah itu juga menyebut bahawa pendirian agama Mat Indera banyak dipengaruhi dua orang gurunya iaitu Ibrahim Jubah dan Muhammad Yassin Muhammad (bapa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin).

Kedua-dua guru Mat Indera ini dikatakan seorang yang kritis terhadap perkembangan politik ketika itu.

Malah, menurut pengkaji lagi, pada mukasurat 30, Muhammad Yassin begitu kritis dengan perkembangan politik tanahair.

Ucapan 'subversif' Muhammad Yassin

Dan kalaulah ucapan-ucapannya dilakukan di atas pentas politik nescaya ia akan dilihat berunsurkan subversif.

Menurut kajian ini juga, Mat Indera pernah dilantik sebagai ketua cucuk tanam anjuran Jepun semasa Perang Dunia Kedua.

NONEFakta ini sekali gus menafikan dakwaan banyak pihak yang bersumberkan Memoir Abdullah CD (kiri, berkaca mata), bahawa Mat Indera menjadi komunis sejak Perang Dunia Kedua lagi.

Semasa Perang Dunia Kedua ini komunis mengambil sikap berperang dengan Jepun melalui pertubuhan Tentera Anti-Jepun Penduduk Tanah Melayu (MPAJA), sedangkan golongan nasionalis Melayu terutama ahli-ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM) mengambil sikap yang lebih lunak dengan Jepun.

Kecenderungan Mat Indera ini jelas bertentangan dengan dakwaan Abdullah CD dalam memoirnya.

Berdasarkan kajian ilmiah tersebut, PPP berpandangan Mat Indera bukanlah Komunis tetapi seorang nasionalis radikal.

Pemberontakan bersenjata

Sebagaimana yang pernah dinukilkan oleh veteran Umno sendiri, Tan Sri Abdul Samad Idris dalam bukunya 25 Tahun Merdeka, pada muka surat 357-358:

"Kita melihat beberapa orang Melayu terlibat dalam gerakan Komunis selepas pengisytiharan Darurat tahun 1948. Adakah mereka ini komunis atau didorong oleh semangat nasionalisme yang meluap-luap?"

pengukir nama johor mat sabu pas pc 060911Perkara inilah menjadi teka-teki kepada kebanyakan pengkaji sejarah kita.

Kalau kita mahu menganggap mereka berfahaman komunis disebabkan terlibat secara langsung dalam pemberontakan bersenjata komunis, bagaimanakah kita mahu memberi penilaian kepada tokoh-tokoh seperti Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Tok Gajah Imam Rasu?

Atau kepada perjuangan Datuk Dol Said di Naning, Datuk Maharajalela di Pasir Salak, Tok Janggut di Pasir Puteh dan Rosli Dhobi di Sarawak?

Mereka juga melakukan pemberontakan bersenjata menentang Inggeris yang menjadi kerajaan di Tanah Melayu.

PPP melihat kenyataan Samad ini hampir sama dengan intipati ucapan Timbalan Presiden PAS Mohammad Sabu (atas) dalam ceramahnya.

Penulis merupakan pengarah operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP)



http://malaysiakini.com/news/175228

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...