Friday, September 9, 2011

Penduduk sementara pula boleh mengundi

Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 8 Sept: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mencatatkan sejarah negara apabila seorang penduduk sementara pula disahkan boleh mengundi dalam negara ini.

Bukti manipulasi dalam pilihanraya itu boleh dirujuk kepada pengundi bernama Numi binti Syukri yang mempunyai kad pengenalan bernombor 880306114096 yang akan mengundi di Kg Bukit Payung, daerah mengindi Mukim Tenang, Dun Hulu Besut dan Parlimen Besut di Terengganu.

Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi, Dewan Pemuda PAS Maalaysia, Suhaizan Kaiat berkata, Numi binti Syukri yang mempunyai kad pengenalan 880306114096 itu ternyata seorang penduduk sementara yang boleh dibuktikan menerusi semakan JPN.

Menurut beliau, namun anehnya, Numi boleh mengundi di Dun Hulu Besut, Parlimen Besut di negeri Terengganu berdasarkan daftar pemilih terkini yang disediakan oleh SPR.

Katanya, bukti kedua pula boleh dirujuk kepada pengundi bernama Hasmidah binti Surahbil yang mempunyai kad pengenalan bernombor 820315126446, lokaliti Taman Baiduri Jaya, daerah mengundi Bandar Teknologi Kajang, Dun Semenyih, Parlimen Hulu Langat di negeri Selangor.

"Bukti ketiga pula melibatkan pengundi bernama Jamaluddin bin Tahir yang mempunyai kad pengenalan bernombor 840803125475, lokaliti Tmn Universiti/Tmn Tropika, daerah mengundi Universiti Kebangsaan Malaysia, Dun Bangi, Parlimen Serdang di negeri Selangor," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, di sini, hari ini.

Sebelum ini, menurut beliau yang juga Ketua Pemuda PAS Johor, Pemuda PAS Malaysia telah banyak membongkar isu-isu berkaitan dengan manipulasi pilihanraya di negara ini.

Katanya, antaranya adalah kes Mismah yang boleh bertukar status kewarganegara dalam tempoh satu jam setengah, Kg Baru menjadi pengundi, kes nombor kad pengenalan lama dimiliki oleh dua individu, double voting, undi pos dan beberapa kes lain.

'Kali ini Pemuda PAS akan membongkar satu lagi manipulasi dalam pilihanraya yang membabitkan penduduk sementara pula. Pemuda PAS Malaysia mahu penjelasan daripada JPN dan SPR berhubung dengan bukti-bukti itu.

"Kami merasa amat curiga dengan data-data yang dimiliki oleh mereka. Teguran daripada semua pihak telah dibuat berulang kali. Mengapa masih berlaku lagi kepincangan dalam SPR dan JPN," katanya.

Kesalahan yang dibuktikannya itu, menurut beliau, tidak harus berlaku dalam sebuah negara seperti Malaysia.

Sehubungan itu, Pemuda PAS Malaysia mendesak kepada Perdana Menteri agar tidak membubarkan Parlimen seterusnya mengadakan pilihanraya selagi masalah-masalah yang dibangkitkan tidak diperbaiki.

"Jika Perdana Menteri tetap berdegil untuk membubarkan Parlimen dalam keadaan teguran semua pihak tidak diendahkan, Pemuda PAS mendesak seluruh rakyat Malaysia turun ke Himpunan Bersih 3 yang akan diadakan sebelum pilihanraya akan datang," tegas beliau.

Turut hadir pada sidang media itu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abd Rani Osman, Timbalan Pengerusi Pemulihan Demokrasi dan Mobilisasi Dewan Pemuda PAS Malaysia, Mohd Adram Musa dan AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5298-penduduk-sementara-pula-boleh-mengundi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...