MEMBACA transkrip ucapan timbalan presiden PAS, Haji Mohamad Sabu di Padang Menora, Pulau Pinang, 21 Ogos lalu membuat kita faham kenapalah Umno marah dan bimbang sangat dengan ucapan itu.
Rupanya, isu penting yang dibangkitkan oleh Mohamad adalah sejarah kemerdekaan negara ini. Mohamad memberikan andaian beliau kenapa sambutan kemerdekaan sejak kebelakangan ini hambar.
Puncanya, kata Mohamad adalah kerana rakyat terasa Umno telah menjadikan sambutan kemerdekaan negara seumpama sambutan memperingati perjuangan Umno sahaja.
"Sekarang kita ni dalam suasana nak sambut merdeka, kita tengok takda orang pun bawa bendera di kereta. Ada setengah tu kereta dia bubuh dekat 200 bendera, tu hak jenis masuk ayak (air) dalam kepala tu. Hak jenis tu ada tapi orang biasa, saya tak nampak pun, sebab rakyat tak berasa sambut merdeka, sambut merdeka seolah-olah perayaan Umno, betul ke dak?
"Sepatutnya tokoh pejuang kemerdekaan kena masuk dalam televisyen. Kalau nak buh Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn pun takpalah (tetapi) kena letak juga Dr Burhanudin, kena letak juga Ustaz Abu Bakar Al Bakir, kena letak juga Datuk Ahmad Bustamam, kena letak juga Datuk Ibrahim Yaakob, kena letak juga perjuang-perjuang seperti Mat Kilau dan sebagainya, ini penentang-penentang British.
(Mohamad Sabu menunjukkan kandungan buku 'Pengukir Nama Johor' yang mencatatkan Mat Indera sebagai salah seorang heronya)
"Tapi bila merdeka, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn, Tunku Abdul Rahman, Datuk Onn. Kalau gitu Umno lah saja yang layak, betul ke dak?" kata Mohamad Sabu dalam ceramah itu.
"Ertinya sambut merdeka ni seolah-olah kepunyaan Umno. Sebab tu kita lihat tulisan-tulisan, blog-blog kebelakangan ni, anak-anak muda kata ...umph.. sambut buat apa. Bendera pun dia kata serupa bendera Amerika. Lagu Negaraku pulak,lagu Hawai. Kemudian diterjemahkan lagu jadi Terang Bulan di Indonesia, kemudian jadi lagu Negaraku.
"Mula-mula saya ingat budak-budak ni melawak. Hari tu anak saya tunjuk, dia bukak YouTube. Dia kata ayah dengak, ini lagu Terang Bulan di Indonesia, ini lagu Negaraku, hundred percent serupa. Ertinya lagu ni lagu diambik daripada lagu Terang Bulan, bukan lagu patriotik apa-apa pun. Sebab tu kita harap, takpalah dah guna pakai nak buat macamana," kata Mohamad.
Dalam ceramah itu jelas Mohamad tidak menafikan sumbangan tokoh-tokoh Umno itu tetapi yang dikesalkan oleh beliau adalah sikap media yang dikuasai Umno menggelapkan jasa pihak lain yang turut berjuang untuk kemerdekaan negara.
Bagi Umno, hanya perjuangan Umno sahaja menyebabkan negara kita merdeka. Hanya pemimpin Umno sahaja yang berjasa dalam memperjuangkan kemerdekaan negara.
Yang menarik juga, Umno melalui tukang-tukang tulis sejarah mengiktiraf mereka yang berjasa adalah mereka yang bersama dengan British yang menjajah negara kita. Mereka yang berjuang, bekerjasama dan bersekongkol dengan British adalah pejuang manakala penentang British adalah petualang.
Atas sebab itulah, Mohamad Sabu membawa balik cerita filem Bukit Kepong.
"Kita lihat cara yang dibuat itu memang banyak yang tak kena. Bila hari merdeka nanti tunjuklah filem Bukit Kepong, (dalam filem) Bukit Kepong, polis itu, polis British, hak serang Bukit Kepong tulah pejuang kemerdekaan, ketuanya Mat Indera, (seorang) Melayu.
"Tetapi semua sejarah itu ditutup. Jins Samsudin buat filem, Jins Samsudin tu Umno. Dalam cerita Bukit Kepong hak serang balai polis (rumah pasong nama ketika itu) tu penjahat, polis tu polis British, sebelum merdeka, negara kita diperintah oleh British. Tetapi dibuat filem yang hero hak pertahan balai polis (rumah pasong), hak serang tu pengganas. Padahal (yang hero) Mat Indera, ketua penyerang balai polis itu yang akhirnya dia dihukum gantung di Jail Taiping," kata Mohamad dalam ceramah itu.
Inilah ayat-ayat yang digunakan oleh Umno untuk menyerang Mohamad Sabu. Kononnya, Mohamad menghina polis dan memuji komunis. Padahal dalam ceramah itu tidak ada pun perkataan komunis yang disokong beliau.
Kini, Mohamad telah menemui sebuah buku yang asalnya didedahkan oleh seorang pembaca Harakahdaily, Mohamed Hadi al-Majwi, melalui tulisannya bertajuk 'Kerajaan Johor Mengiktiraf Ketokohan Mat Indera'.
Buku yang diterbitkan oleh Yayasan Warisan Johor bertajuk "Pengukir Nama Johor" menyenaraikan Mat Indera sebagai salah seorang hero Johor. Di Johor, yayasan ini umpama Jabatan Muzium Negeri Johor kerana Johor tidak ada jabatan muzium ini. Ia adalah satu jabatan kerajaan di Johor.
Melalui buku ini, sejarah perjuangan Mat Indera memperjuangkan kemerdekaan dicatatkan dengan baik sekali oleh penulis buku ini.
Buku ini adalah hasil karya pelbagai penulis, tetapi biografi Mat Indera ditulis oleh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn.
Buku ini juga telah disunting oleh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002. Prakata buku ini pula ialah daripada Menteri Besar Johor sendiri, Datuk Abdul Ghani Othman.
Jika Umno dan medianya terus mengatakan Mat Indera komunis dan menyifatkan Mohamad Sabu sebagai penyokong komunis maka tuduhan Umno itu tidak patut berhenti di situ.
Umno juga mesti menuduh menteri besar Johor sekarang, Datuk Ghani Othman yang memberikan kata-kata aluan untuk buku ini sebagai penyokong komunis.
Umno juga perlu menuduh Ismail Adnan, bekas guru kanan yang pernah menjadi Timbalan Pengarah, Institut Kepimpinan dan Latihan Semangat Datuk Onn juga sebagai penyokong komunis kerana menulis bahawa Mat Indera adalah pejuang kemerdekaan dan bukannya komunis.
Di samping mereka berdua, Umno juga perlu menuduh Profesor Datuk Abu Bakar A. Hamid, bekas Profesor di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dan Md Ismail Zamzam, Tokoh Guru Berjasa Johor 2002 sebagai penyokong komunis juga kerana mereka berdualah yang menyunting buku itu.
Dan yang lebih penting lagi, Umno kena mendakwa dan membuat laporan polis terhadap Yayasan Warisan Johor kerana menerbitkan buku ini.
Kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyidin Yasin pula, beliau perlu mengkaji balik tuduhannya kepada Mohamad Sabu dan Mat Indera khasnya. Ini kerana, ayahanda beliau, Haji Mohamad Yasin adalah guru agama kepada Mat Indera.
Muhyidin kena mendakwa ayahandanya mengajar ilmu salah bahkan diserap fahaman komunis kerana telah menyebabkan Mat Indera menjadi komunis.
Kalau kita pergi lebih jauh lagi, kakak Muhyidin yang hampir berkahwin dengan Mat Indera juga patut didakwa oleh Muhyidin kerana pengaruh beliaulah menyebabkan Mat Indera jadi komunis jika benar Mat Indera komunis.
Semua ini tidak terlepas dari Umno dan benarlah apa yang dikatakan Mohamad Sabu, Umno menggali kuburnya sendiri dalam isu ini dan "saya mahu tabalkan MB Johor baharu dari PAS selepas pilihan raya umum akan datang," kata Mohamad Sabu sambil menepuk bahu seorang pemimpin PAS yang berasal dari Johor.
http://bm.harakahdaily.net/index.php/columnist/editor-harakahdaily/5252-mohamad-sabu-dan-mat-indera
No comments:
Post a Comment