Wednesday, February 4, 2009

100,000 warga Indonesia dijangka hilang kerja


Bachtiar sambil diperhatikan Abdul Ghafar (kiri)." title="MESRA...Hishamuddin (dua dari kanan) menyambut Da’i
Bachtiar sambil diperhatikan Abdul Ghafar (kiri)." height="196" width="300" border="0">
MESRA...Hishamuddin (dua dari kanan) menyambut Da’i 
Bachtiar sambil diperhatikan Abdul Ghafar (kiri).

KUALA LUMPUR: Selain rakyat tempatan, kira-kira 100,000 warga Indonesia yang bekerja di sektor pembuatan negara ini dijangka akan diberhentikan secara berperingkat sehingga hujung tahun berikutan situasi ekonomi dunia yang tidak menentu.

Duta Besar Republik Indonesia, Tan Sri Da'i Bachtiar, berkata jumlah itu membabitkan satu pertiga daripada hampir dua juta rakyat negara itu yang bermastautin di Malaysia, sekali gus berkhidmat dalam pelbagai sektor khususnya perkilangan.

Katanya, maklumat diperoleh menerusi majikan juga menunjukkan 10,000 rakyat Indonesia sudah diberhentikan perkhidmatan mereka di beberapa kilang besar sekitar Johor dan Pulau Pinang.

“Pihak kedutaan sedia maklum masalah ini, malah menjangkakan pembuangan pekerja dan penghantaran pulang warga Indonesia yang berkhidmat di sini akan berlaku sepanjang tahun bergantung kepada keperluan industri dan kestabilan ekonomi.

“Kebanyakan mereka terbabit berkhidmat di sektor perkilangan khususnya pembuatan, manakala yang lain umpamanya perkhidmatan rumah tangga tidak berdepan risiko kerana majikan tempatan masih memerlukan pembantu rumah rakyat Indonesia. 

“Bagi rakyat Indonesia yang diberhentikan masing-masing diberi pilihan sama ada menyambung kontrak dengan bekerja di sektor atau bahagian lain mahupun pulang ke negara asal,” katanya ketika ditemui sebaik selesai kunjungan di Balai Berita Bangsar di sini semalam.

Rombongan delegasi Kedutaan Indonesia itu disambut Ketua Pengarang Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) (M) Bhd, Datuk Hishamuddin Aun dan Pengarang Kumpulan Berita Harian Sdn Bhd (BHSB), Datuk Manja Ismail.

Turut hadir, Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk Syed Nadzri Syed Harun dan Pengarang Eksekutif Harian Metro (HM)/Metro Ahad (MA), Abdul Ghafar Ismail. 

Da'i Bachtiar berkata, majikan yang terpaksa memberhentikan perkhidmatan pekerja warga Indonesia diharap bertanggungjawab terhadap penghantaran pulang rakyat negara itu seperti dijanjikan mengikut kontrak bekerja.

“Untuk (rakyat Indonesia) yang tidak mahu pulang dan ingin bekerja di sektor lain, terpulang kepada mereka tetapi diingatkan supaya mengikut prosedur betul dengan menyediakan dokumen lengkap untuk tujuan permohonan pekerjaan.

“Kedutaan bersedia menyalurkan bantuan dan maklumat kepada mereka menerusi pejabat Atase Buruh,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090204085726/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...