Wednesday, February 4, 2009

Empat ADUN masuk BN, Perak tumbang?

Oleh G. MANIMARAN dan ZANARIAH ABD. MUTALIB


 PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bota, Datuk Nasarudin Hashim hari ini mengumumkan kembali menyertai Barisan Nasional (BN).

Manakala tiga lagi, iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang); Mohd Osman Mohd Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) turut mengambil keputusan menyertai BN.

Keempat-empat mereka kini berada di pejabat Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak di Putrajaya untuk sidang media khas.

"Saya dalam perjalanan ke Putrajaya, tunggu pengumuman dalam masa terdekat," kata Jamaluddin.

Sementara sebelum itu, Nasarudin yang gagal dihubungi dipercayai 'hilang' dan disembunyikan oleh pihak-pihak tertentu.

Perkara tersebut dimaklumkan isteri beliau bahawa Nasarudin telah dijemput oleh dua orang yang tidak dikenali di rumah mereka sebentar tadi.

Dalam pada itu, ketika ini juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin sedang menuju ke Istana Kinta bagi mengadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Sementara itu, selepas kira-kira tiga jam Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menangguhkan sidang media di pejabatnya tengah hari tadi, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengadakan sidang media petang ini.

Pada sidang media berkenaan, Najib dipercayai akan membuat kenyataan berhubung keadaan politik di Perak.

Nizar turut dijadualkan mengadakan sidang media pada petang ini dipercayai akan mengumumkan perkenan Sultan Perak bagi membolehkan pilihan raya tergempar diadakan.

Perkara tersebut dimaklumkan Setiausaha Sulit Menteri Besar, Wan Ahmad Junaidi kepada wartawan yang menunggu di pejabat Menteri Besar selama sejam.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...