Wednesday, February 4, 2009

Malang lelaki Nepal, Bangladesh - Sering menjadi sasaran mudah penjenayah tempatan


ROSLAN menunjukkan gambar suspek kes samun 
di pejabatnya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang semalam.


JOHOR BAHRU – Mereka mungkin dianggap romantis sehingga boleh ‘mencairkan’ perasaan wanita tempatan.

Namun percaya atau tidak, nasib warga asing sebenarnya tidaklah sebaik mana apabila sering menjadi sasaran samun penjenayah tempatan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, hasil siasatan pihaknya mendapati banyak warga asing seperti warga Nepal, Bangladesh dan Vietnam di daerah itu menjadi sasaran penjenayah tempatan terutamanya pada awal bulan ketika warga asing berkenaan menerima gaji masing-masing.

Menurutnya, meskipun tidak menolak kemungkinan wujudnya warga asing yang turut terlibat dalam aktiviti jenayah, situasinya tidak begitu membimbangkan dan masih terkawal.

“Kita percaya penjenayah tempatan sering menjadikan warga asing sebagai sasaran mudah ekoran warga asing lazimnya tidak melawan dan agak takut memandangkan mereka berada di negara orang.

“Selain itu, faktor keselamatan yang longgar di rumah sewa dan asrama warga asing juga dipercayai mendorong penjenayah tempatan mengambil kesempatan terhadap mereka,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini semalam.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan betapa bertuahnya lelaki warga asing terutamanya warga Bangladesh yang kononnya lebih romantik berbanding jejaka tempatan sehingga menyebabkan mereka lebih disayangi dan dihargai wanita Malaysia.

Roslan berkata, sehingga kini pihaknya masih belum menerima apa-apa laporan mengenai kes penipuan serta melarikan anak gadis Malaysia yang membabitkan warga asing namun pada masa sama memberi jaminan akan terus memantau situasi berkenaan.

Menurutnya, ketika ini pihaknya juga sedang memburu seorang suspek tempatan yang dikenali sebagai P. R. Nathan, 18, yang alamat terakhirnya di Jalan Tasek 64, Bandar Seri Alam Masai di sini yang dipercayai menjadikan warga-warga asing di sekitar Bandar Seri Alam sebagai mangsa samun sejak beberapa bulan lalu.

Katanya, suspek dipercayai merbahaya dan masih bersembunyi di negeri ini selepas menetak tiga warga asing sehingga cedera parah menggunakan senjata tajam ketika menyamun sebuah asrama warga asing di Jalan Miel 2, Kawasan Perindustrian Miel, Pasir Gudang di sini Sabtu lalu.

“Ia membabitkan kerugian wang tunai RM500, selain lebih 11 telefon bimbit milik warga asing turut dilarikan suspek.

“Tiga rakan suspek yang berusia antara 17 dan 23 tahun berjaya diberkas dan direman bagi membantu siasatan,’’ jelasnya.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek diminta menghubungi mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0201&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...