Wednesday, February 4, 2009

Ketua maut jatuh flet

Oleh Sarah Zulkifli
sarah@hmetro.com.my

dari tingkat 4." title="DI SINI...flet tempat ketua Geng 4 maut jatuh
dari tingkat 4." height="225" width="300" border="0">
DI SINI...flet tempat ketua Geng 4 maut jatuh 
dari tingkat 4.

KUALA LUMPUR: Jeritan seorang penghuni yang ternampak kelibat lelaki cuba memasuki rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Beringin, Jinjang Utara di sini, berjaya menumpaskan ketua penjenayah Geng 4 paling dikehendaki polis.

Lelaki dikenali sebagai Muslizal Muhammad, 24, dikatakan terbabit dengan lebih 20 kes samun bersenjata bersama anggota kumpulannya di sekitar Lembah Klang sejak tahun lalu, maut apabila terjatuh dari tingkat 11 ketika cuba melarikan diri daripada ditahan polis.

Muslizal, dari Kepong, nekad melarikan diri melalui tingkap rumah persembunyiannya ketika polis menyerbu jam 6 pagi semalam.

Dia turun dari tingkat 12 ke tingkat 11 melalui tingkap dari rumah persembunyiannya sebelum cuba memasuki sebuah rumah lain untuk melarikan diri.

Ketua Polis Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, berkata sebelum melakukan serbuan di rumah suspek, polis menahan dua lelaki dipercayai anggota Geng 4 yang dalam perjalanan ke rumah itu.

“Sebaik tiba di depan rumah, polis mengetuk pintu sebelum dibuka seorang anggota kumpulan itu selepas hampir lima minit diketuk.

“Dalam rumah itu, polis menahan empat lagi anggota kumpulan itu yang berusia 17 hingga 24 tahun,” katanya.

Katanya, polis menjalankan pemeriksaan dan mendapati tingkap di dapur terbuka sebelum ternampak Muslizal cuba melarikan diri. 

“Dia melompat ke tingkat 11 sebelum cuba memasuki sebuah rumah,” katanya di sini, semalam.

Bagaimanapun, dia tersilap langkah apabila penghuni rumah itu ternampak bayangannya sebelum menjerit.

Ini menyebabkan Muslizal cuba turun ke tingkat 10, namun tidak berjaya apabila tergelincir lalu terjatuh ke kawasan lapang rumah pangsa berkenaan. 

Zakaria berkata, suspek mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan patah tangan.

Mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat. 

Zakaria berkata, kumpulan ganas itu dikesan menggunakan kereta curi di sekitar Lembah Klang untuk menyamun mangsa.

“Mereka yang cuba dikesan polis sejak tahun lalu itu sering menyamun selepas tengah malam secara berkumpulan empat orang dengan menggunakan senjata.

“Cara mereka menyamun mulanya menghalang kereta dari depan sebelum menyamun pemandu dan penumpangnya selain terbabit dalam jenayah samun rumah dan samun tepi jalan,” katanya.

Sebelum melakukan serbuan itu, polis mengejar sebuah Honda City kira-kira jam 4 pagi semalam yang dipandu anggota sindiket berkenaan dari Sentul sebelum hilang daripada pandangan. 

“Kereta itu ditemui di sekitar Rawang selepas suspek meninggalkannya di tepi jalan. Mereka tidak pulang ke rumah masing-masing kerana takut dikesan polis.

“Mereka ke rumah pangsa itu untuk menyembunyikan diri,” katanya yang percaya geng itu terbabit lebih 20 kes jenayah di sekitar Lembah Klang terutama di Jinjang, Kepong dan Sentul sepanjang tahun lalu. 

Katanya, siasatan turut mendapati ketua Geng 4 itu mempunyai rekod lampau dan pernah ditahan kerana disyaki menyamun.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090204092341/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...