Wednesday, February 4, 2009

Abhisit enggan tunduk tuntutan UDD

ANGGOTA tentera mengawal Rumah Kerajaan selepas penunjuk perasaan cuba memasuki bangunan tersebut di Bangkok semalam.


BANGKOK - Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva semalam berkata, kerajaan beliau tidak akan tunduk dengan desakan penunjuk perasaan yang mahu satu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 15 hari.

Desakan itu disuarakan oleh kumpulan Barisan Bersatu Demokrasi menentang pemerintahan Diktator (UDD) yang menghimpunkan sejumlah 30,000 penyokong kelmarin.

UDD juga mendesak Abhisit memecat Menteri Luar, Kasit Piromyas dan menghukum pemimpin sebuah kumpulan penunjuk perasaan yang menutup lapangan terbang di Bangkok pada November tahun lalu.

"Mereka (UDD) tidak boleh mendesak pilihan raya diadakan dalam tempoh 15 hari kerana beberapa isu undang-undang memerlukan masa untuk diproses," kata Abhisit.

Para pemimpin UDD yang merupakan penyokong bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berkata, sekiranya tuntutan itu tidak dipenuhi mereka akan menganjurkan lebih banyak tunjuk perasaan besar-besaran.

UDD juga menuduh Abhisit menjadi boneka tentera dan Perikatan Rakyat untuk Demokrasi (PAD) tetapi dinafikan oleh beliau.

Kasit juga sering muncul memberi ucapan dalam setiap tunjuk perasaan anjurkan PAD yang anti-Thaksin sebelum ini.

Perkembangan terbaru itu menunjukkan bahawa situasi politik Thailand masih belum stabil berikutan perbalahan antara penyokong dan penentang Thaksin.

- Reuters

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0202&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...