Wednesday, February 4, 2009

Dua gunung berapi di Jepun meletus



DUA gambar menunjukkan letusan Gunung Asama di wilayah Nagano, 150 kilometer ke barat Tokyo semalam.


TOKYO - Gunung berapi Asama meletus dekat Tokyo semalam dengan melepaskan sejumlah asap setinggi 1.6 kilometer manakala debu berterbangan sehingga ada penduduk yang menyangkanya salji, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Setakat ini, tidak ada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan daripada letusan tersebut.

Kali terakhir gunung itu meletus pada Ogos lalu tetapi ia tidak mengakibatkan kerosakan besar.

Letusan terbaru yang bermula awal pagi semalam dianggap kuat berikutan penemuan batu-batu besar yang dijumpai hampir 1,000 meter dari kawasan letusan.

Debu gunung berapi tersebar luar sehingga mengenai bahagian tengah Tokuuo dan sejauh Chiba di bahagian timur.

Di daerah Fussa, barat Tokyo, kerajaan tempatan menerima panggilan telefon bertalu-talu setelah para penduduk panik berikutan penemuan debu putih dari langit.

"Ada penduduk yang menyatakan mereka mendengar bunyi bising pelik ketika letusan berlaku," kata seorang penduduk.

Stesen televisyen NHK turut melaporkan ramai penduduk di Tokyo beratur untuk membersihkan kereta mereka yang putih dilitupi debu gunung berapi.

Agensi Meteorologi Jepun turut melaporkan satu letusan kecil berlaku di sebuah lagi gunung berapi, Sakurajima, selatan Jepun. - AP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2009&dt=0203&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...