mengugut membunuh diri selepas berhutang RM60,000 dengan along." title="UGUT TERJUN...wanita bersama anak perempuannya yang mengugut membunuh diri selepas berhutang RM60,000 dengan along." height="304" width="300" border="0"> |
UGUT TERJUN...wanita bersama anak perempuannya yang mengugut membunuh diri selepas berhutang RM60,000 dengan along. |
KUALA LUMPUR: Gara-gara gagal melangsai hutang along, seorang ibu mengancam terjun membunuh diri bersama anak perempuan berusia empat tahun.
Wanita berusia 31 tahun itu mengugut untuk terjun dari tingkat tujuh bangunan ibu pejabat MCA di sini, baru-baru ini, selepas mengalami tekanan perasaan melampau selepas diburu sembilan along yang menuntut hutang RM60,000.
Difahamkan wanita itu yang bekerja sebagai peniaga kedai nasi campur berhajat untuk mati bersama anak perempuannya selepas buntu bagi mendapatkan wang bagi membayar hutangnya.
Lebih memeranjatkan apabila wanita itu dikesan meminjam semata-mata untuk berjudi.
Perkara itu didedahkan Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Michael Chong yang turut melahirkan rasa simpati dan terkilan dengan kejadian berkenaan.
Menurutnya, dalam kejadian itu wanita dikenali sebagai Amy menemuinya di pejabat sambil meluahkan masalahnya.
“Dia sujud memeluk kaki saya sambil merayu supaya saya membantunya. Dia mengugut tidak teragak-agak untuk terjun dari tingkat tujuh pejabat saya jika permintaannya tidak ditunaikan.
“Kerana simpati, saya bantu mangsa dengan menemui semua sembilan along itu,” katanya.
Katanya, semua along itu akhirnya bersetuju mengurangkan faedah ditetapkan sebelum hanya meminta hutang RM28,000 dikembalikan.
“Saya membawa wanita itu untuk meminjamkan wang pula daripada syarikat peminjam wang berlesen untuk melangsaikan semua hutang along berkenaan.
“Syarikat peminjam wang berlesen hanya menetapkan kadar faedah 1.8 peratus setahun. Ini bererti mangsa hanya perlu membayar bunga kira RM2,000 setahun berbanding RM8,000 kepada along,” katanya.
Menurutnya, beberapa bulan selepas membantu wanita malang itu pejabatnya didatangi wakil syarikat pinjaman wang berlesen berkenaan yang memberitahu wanita berkenaan lesap dan gagal membayar pinjamannya.
“Saya sebagai penjamin diarah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap hutang RM28,000. Selepas disiasat, saya mendapat tahu wanita berkenaan sudah melarikan diri ke Amerika Syarikat,” katanya.
Kejadian sama berulang apabila seorang lelaki berasal dari Ipoh turut meminta bantuannya untuk melangsaikan hutang along sebanyak RM100,000.
Menurutnya, lelaki berkenaan yang memiliki sebuah pasar raya di Ipoh turut mengugut mahu membunuh diri dengan terjun ke sungai.
“Saya yang simpati sekali lagi menjadi penjamin untuk mangsa, namun selepas lima bulan, lelaki berkenaan terus lesap.
“Sejak itu, saya serik membantu mangsa along lagi walaupun mereka mengugut mahu terjun membunuh diri,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh dua tahun saja, seramai 50 mangsa pinjaman along datang ke pejabatnya dan mengugut mahu membunuh diri.
“Malah, tahun ini saja sudah lebih lima mangsa turut ‘berlakon’ ingin membunuh diri jika tidak dibantu melunaskan hutang, namun hati saya sudah kering.
“Jika mereka tetap mahu membunuh diri, saya menasihati mereka supaya pergi mencari bangunan lain atau tempat yang jauh daripada penglihatan orang ramai,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090204092507/Article/index_html
No comments:
Post a Comment